Saturday, December 22, 2012

Koternak Akan Labur RM600,000 Dalam Bidang Ternakan Lembu Feedlot

Koperasi Penternak Terengganu Berhad (Koternak) dijangka melabur RM600,000 dalam bidang ternakan lembu feedlot awal tahun depan.

Pengerusinya, Ma'az Muda berkata pelaburan itu bertujuan membeli lembu untuk diternak secara feedlot bagi menambah pendapatan ahli Koternak pada masa akan datang.

"Ini merupakan satu projek baharu yang akan dilaksanakan oleh Koternak selain projek perniagaan makanan ternakan lembu yang dijalankan sebelum ini," katanya.

Untuk itu, Ma'az berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Terengganu telah menyediakan satu kandang ternakan feedlot di Tersat, Hulu Terengganu untuk Koternak.

Koternak akan menyewa kandang tersebut yang turut disediakan pelbagai kemudahan termasuk ladang rumput untuk makanan lembu, katanya, sambil menyatakan kandang itu mampu menempatkan sehingga 300 ekor lembu setiap pusingan dan Koternak akan menternak tiga pusingan setahun.

Koternak merancang membeli lembu-lembu dari beberapa negeri di luar Terengganu untuk digemukkan dalam kadang tersebut sebelum dijual. Sebagai langkah pertama, pada Febuari atau Mac tahun depan, katanya

Koternak akan membeli 300 ekor lembu untuk dipelihara dalam kadang berkenaan.

Koternak juga membuka peluang kepada anggota-anggotanya untuk turut sama melabur dalam projek tersebut supaya mereka sama-sama dapat menikmati faedah, katanya.

Beliau berkata ahli boleh melabur antara RM150 sehingga RM2,000 untuk membolehkan Koternak memulakan perniagaan menjual input bahan-bahan makanan tambahan lembu, yang kini mempunyai nilai perniagaan hampir RM100,000. Ma'az berkata Koternak telah diwujudkan kira-kira 18 tahun lalu dengan keanggotaan 300 ahli yang terdiri daripada para penternak di Terengganu.

Selain itu, katanya Koternak juga merancang membina bangunan sendiri pada masa akan datang kerana mereka tidak mahu menyewa premis selama-lamanya. Pejabat Koternak sekarang ini terletak di Wakaf Jela, Jalan Kuala Berang, sejak 18 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment