Wednesday, December 26, 2012

KP1M Salur Bantuan Untuk Mangsa Banjir di Terengganu, Pahang

Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) menggerakkan usaha untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu dan Pahang dengan menghantar lima kontena berisi barangan keperluan asas termasuk makanan.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan itu adalah untuk kegunaan mangsa banjir di dua negeri yang dilapor menempatkan kira-kira 10,000 mangsa di pusat pemindahan.

"Kita hantar bantuan seperti barangan kebersihan diri, makanan, minuman, selimut termasuk tilam dengan masing-masing sebanyak 1,000 pek," katanya kepada pemberita ketika mengulas bantuan yang disalur kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu selepas mengagih bantuan misi kemanusian KP1M di daerah New Bataan, Compostela Valley dekat Davao (Mindanao).

Beliau berkata, pihaknya turut menggerakkan dua pasukan perubatan seramai lapan orang dan dua ambulans milik KP1M ke setiap negeri terbabit.

Katanya, misi bantuan yang diketuai Bendahari Kehormat KP1M Abdul Mutalib Abdul Rahim itu juga akan bekerjasama dengan pihak Majlis Keselamatan Negara dan polis untuk memastikan bantuan sampai ke pusat pemindahan.

Sementara itu, misi bantuan kemanusiaan diteruskan dengan lebih 20,000 keluarga di New Bataan, yang terjejas teruk dalam taufan Bopha, menerima agihan sumbangan berbentuk kelengkapan kebersihan, makanan, beras, kain batik dan beberapa kelengkapan asas.

No comments:

Post a Comment