Koperasi Peserta Felcra Bukit Kapah (KPFBK) di sini dijangka melabur lebih RM1 juta di dalam pembangunan hartanah menjelang tahun hadapan dalam usaha memantapkan lagi kedudukannya pada masa akan datang.
Setiausahanya, Ali Buza berkata fokus utama KPFBK dalam pelaburan tersebut ialah memajukan tanah milik koperasi seperti yang dilakukan sebelum ini dengan pembangunan rumah kedai dan ladang kelapa sawit yang dijangka mampu memberi hasil kewangan yang berganda dan berterusan kepada ahlinya.
Buat permulaan, katanya pihaknya akan membelanjakan lebih RM1 juta untuk membina tiga unit rumah kedai tiga tingkat di tanah milik koperasi itu di Kampung Batu 24, Jalan Kuala Berang.
"Projek tersebut merupakan yang ketiga KPFBK, yang akan melibatkan kawasan seluas suku hektar dan mengikut perancangan, dua unit daripada bangunan itu akan disewakan manakala seunit lagi akan digunakan oleh koperasi," katanya semalam.
Menurutnya, projek itu dijangka dimulakan pada awal tahun depan selepas semua urusan dengan Majlis Daerah Hulu Terengganu diselesaikan.
No comments:
Post a Comment