Saturday, December 22, 2012
Lampu Limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Dinaik Taraf
Kerajaan negeri akan menaik taraf pencahayaan lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini dari 800 lux kepada 1,200 lux, awal Januari depan.
Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, usaha ini bagi mengelak pertandingan bola sepak dilangsungkan pada sebelah petang.
"Sebelum ini, pencahayaan lampu stadium itu dinaikkan daripada 800 lux kepada 1,000 lux untuk membolehkan pertandingan diadakan sebelah malam," katanya di Kuala Terengganmu, kelmarin.
Menurutnya, masalah pencahayaan lampu limpah di stadium itu pernah berlaku ketika Terengganu menghadapi pertandingan Piala AFC, tahun lalu.
Justeru, katanya, usaha menaik taraf pencahayaan lampu limpah mengikut piawaian perlu diselesaikan sebelum bermulanya pertandingan bola sepak Liga Super pada 9 Januari depan.
Sementara itu, pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk menaik taraf pencahayaan lampu limpah stadium yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan bola sepak di negeri ini.
Beliau berkata, langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sukan khususnya bola sepak serta peminat dan penyokong pasukan Terengganu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Terengganu akan mengadakan perlawanan persahabatan pra musim dengan pasukan Selangor PKNS di Kual Terengganu Rabu depan.
Perlawanan itu bagi menguji keserasian pemain import skuad penyu, Effa Owana dan Vincent Vikana dengan pemain tempatan sebelum berdepan pertandingan sebenar.
No comments:
Post a Comment