Wednesday, December 26, 2012

Lawatan Sultan Terengganu Pengubat Kesedihan Mangsa Banjir Di DUN Jabi

 

Lawatan Sultan Terengganu umpama pengubat kesedihan bagi mangsa banjir ketika mereka menghadapi musibah.

Sultan Mizan Zainal Abidin.petang semalam berkenan melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Kampung Bukit Rambutan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.

Ia menjadi lokasi kunjungan pertama Sultan Terengganu melawat mangsa banjir di negeri ini tahun ini.

Sultan Mizan diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Jabi, Ramlan Ali bersama pemimpin masyarakat menyambut rombongan Sultan dan Menteri Besar yang tiba kira-kira jam 6 petang.

Penduduk dan mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan yang  menempatkan seramai 137 dari 67 keluarga mangsa kelihatan gembira dan ceria.

Ketibaan baginda dinantikan oleh mangsa di pusat pemindahan itu yang beratur untuk bersalaman dan bersua muka dengan baginda.

Sultan Mizan meluangkan masa hampir setengah jam bertanyakan khabar penduduk serta turut menyampaikan cendera hati berupa makanan kepada mangsa..

 Seorang mangsa, Lina Ismail berkata beliau gembira apabila mendapat tahu Sultan Mizan sudi mencemar duli melawat rakyat yang ditimpa kesusahan.

"Seronok sangat sebab biasanya hanya dapat lihat baginda di kaca televisyen tetapi hari ini dapat berjumpa bertentang muka pula.

"Betullah kata pepatah di sebalik kesedihan pasti ada kegembiraan," kata ibu kepada empat anak ini.

Seorang warga emas, Timah Ngah berkata beliau berjalan kaki sejauh kira-kira 500 meter pada pukul 12 malam semalam setelah rumahnya dinaiki air paras pinggang.

"Walaupun letih, sedih dengan kemusnahan harta benda, Tok tetap bersyukur kerana menerima banyak bantuan kerajaan semasa musim banjir ini," katanya.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, walaupun semua kakitangan pejabat bercuti sempena Krismas tetapi mereka tetap menjalankan tugas seperti biasa berikutan banjir yang melanda daerah itu sejak dua hari lalu.

No comments:

Post a Comment