Friday, December 28, 2012

Maidam Bina 30 Unit Rumah Untuk Golongan Miskin

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membina 30 buah rumah bernilai kira-kira RM38,000 sebuah bagi golongan fakir dan miskin di negeri ini sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua Maidam Datuk Omar Pilus berkata selain memperluaskan bantuan dalam bentuk pembinaan rumah baharu, Maidam turut menghulurkan bantuan untuk memperbaiki rumah sedia ada.

Bercakap pada majlis penyerahan zakat daripada Bank Islam sebanyak RM324,938 di Maidam baru-baru ini, beliau berkata hampir RM10 juta telahpun dibelanjakan khusus untuk bantuan pendidikan menengah dalam bentuk seragam sekolah, baucar makanan waktu rehat, tambang bas dan yuran asrama.


Ini melibatkan 266 buah dengan hampir 24,570 pelajar, katanya.

Omar berkata bagi golongan yang sudah tidak produktif, seramai 2,121 orang menerima bantuan antara RM250 dan RM450 sekeluarga.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga 26 Disember tahun ini, Maidam mengutip zakat sebanyak RM98.3 juta, dengan zakat pendapatan merupakan penyumbang tertinggi iaitu RM37.4 juta, diikuti zakat perniagaan RM30.1 juta dan zakat simpananan RM18.2 juta.

Bagi tempoh yang sama juga, Maidam mengagihkan zakat berjumlah RM80.5 juta dengan agihan tertinggi adalah untuk golongan miskin sebanyak RM30.4 juta dan fisabilillah RM24.9 juta.

No comments:

Post a Comment