Thursday, December 6, 2012

Malaysia Meningkat Ke Tangga 54 Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)

 

Malaysia meningkat ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu, menurut Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (Ti-M), Datuk Paul Low.

Beliau berkata Malaysia mendapat 49 dari 100 mata pada survei yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam di kalangan 176 negara.

Malaysia mencatat kedudukan di tangga ke-60 pada tahun lalu.

“Walaupun ia bertambah baik, kedudukan kita masih tidak berapa baik... Ada di antara perkara ini (skandal rasuah berprofil tinggi) menghalang kedudukan kita daripada meningkat.


"Sepanjang pengetahuan saya, 49 (mata) tidak bagus, tapi dengan segala usaha yang dilakukan, ada sedikit peningkatan.

“Walaupun dengan semua skandal, kita lebih baik daripada kedudukan kita beberapa tahun lalu. Contohnya, kita dapat membincangkan isu rasuah dengan lebih terbuka. Suasananya berbeza," katanya.

"Penambahbaikan ini dijangka. Semua usaha dan langkah yang diambil kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelasanaan (Pemandu) telah membuahkan hasil dan kita berharap Malaysia berupaya memecah rekod," katanya pada sidang media mengenai keputusan CPI Malaysia untuk 2012, yang dikeluarkan Transparensi Antarabangsa seluruh dunia, di Kuala Lumpur semalam.

"Terdapat penambahbaikan pada ranking, tetapi kedudukan Malaysia terus berada purata julat tengah dan kita berharap untuk melihat dalam tempoh dua tiga tahun lagi, meningkat luar biasa kepada poin 60," katanya.

Beliau memuji komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah di mana Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang berani memasukkan CPI sebagai sebahagian Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memerangi rasuah.

No comments:

Post a Comment