Thursday, December 6, 2012

Syed Azman Tetap Bertanding Di Batu Burok

Jika sebelum ini Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menunjukkan minat bertanding di Parlimen Kuala Terengganu, kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pula berpendirian mahu bertanding sekali lagi di kawasan yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengakuan Syed Azman untuk bertanding di kerusi Dun Batu Burok bagaimanapun bukan dilihat sekadar minat, sebaliknya gambaran seolah-olah ia adalah arahan parti.

Enggan mengulas lanjut, Syed Azman hanya mengistilahkan kedudukan beliau untuk bertanding semula di kubu kuat Pas itu sebagai "strategi Pas."

“Saya tetap bertahan di Batu Burok. Kita ada strategi yang diambil untuk pertahan Dun Batu Burok... strategi Pas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, di Kuala Ibai, di sini.

Sebelum ini, Mohd Abdul Wahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Dun Wakaf Mempelam bersedia melepaskan salah satu kerusi yang disandangnya apabila turut menyatakan minat untuk bertanding di kerusi Parlimen sahaja, jika diberi pilihan.

Sementara itu, Syed Azman memberitahu beliau sudah bersiap sedia menghadapi musuh tradisi daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, berbekal keyakinan bahawa Pas mampu mengekalkan kemenangan di Batu Burok.

Laluan BN mungkin sukar memandangkan kawasan tersebut sudah ditadbir Pas sejak 26 tahun lalu.

Dengan perkembangan politik semasa yang mencetus kepada perubahan rakyat, Syed Azman turut melihat situasi itu turut berkesan dalam meningkatkan majoriti Pas pada masa akan datang berbanding sebelumnya. “Insya-Allah (Batu Burok) kekal kepada Pas dan (majoriti) bertambah berdasarkan suasana politik.

Dalam konteks nasional, perubahan politik berlaku dari aspek keyakinan pengundi kepada PR, sokongan yang kita dapat daripada golongan muda, India dan Cina akan membawa kepada keputusan pilihan raya ke arah kemenangan yang lebih besar,” katanya.

Menyentuh perkara sama, beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan calon di saat-saat akhir termasuk di Batu Burok memandangkan senarai calon parti yang bertanding belum dimuktamadkan.

“Bila-bila masa boleh bertukar (calon). Sampai masa, senarai nama calon akan dikeluarkan apabila Dun dibubarkan,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Syed Azman menewaskan calon BN, Nordiana Shafie yang juga Ketua Puteri Umno Terengganu di kerusi Dun Batu Burok dengan majoriti 1,161 undi.

No comments:

Post a Comment