Thursday, December 13, 2012
Malaysia Perlu Menang. Jangan Jadikan Padang Becak Alasan Hilang Tumpuan
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah mahu Harimau Malaya memberi tumpuan penuh kepada persediaan menentang Thailand hari ini walaupun menghadapi 'rintangan' awal di tempat lawan.
Baginda tidak mahu padang latihan yang dikatakan becak serta tidak sesuai menghalang pemain negara memberi tumpuan kepada perlawanan kedua separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 itu.
"Segala halangan yang dihadapi pemain tidak harus menjejaskan tumpuan kerana kemenangan penting untuk membawa skuad negara layak ke final.
"Biar apapun keadaan padang berair dan becak, mereka perlu bermain bermati-matian. Lupakan segala halangan itu, sebaliknya memberi tumpuan dan komitmen tinggi terhadap permainan," titah Sultan Pahang itu kepada pemberita, di Kuantan semalam.
Titah baginda, Harimau Malaya bukan sekadar membawa cabaran negara tetapi mewakili rakyat untuk mencipta kemenangan dalam usaha mengekalkan kejuaraan yang dimenangi di Jakarta, Indonesia dua tahun lepas.
Sultan Ahmad Shah yakin skuad Harimau Malaya akan melangkah ke final dengan kemenangan 2-1 pada pertemuan di Bangkok malam ini , sekali gus layak dengan agregat 3-2 mengatasi Gajah Perang.
Dilaporkan layanan buruk yang diterima oleh pasukan Malaysia pada sesi latihan semalam tidak akan melemahkan semangat pemain negara apabila menghadapi Thailand pada saingan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2012 di Bangkok hari ini.
Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal berkata skuad Malaysia, yang digelar Harimau Malaya, perlu memikirkan secara positif dan berazam memenangi perlawanan esok, sebagai laluan untuk mempertahankan kejuaraan yang dicapai pada 2010.
Rajagobal berkata sesi latihan tidak berjalan lancar selepas tuan rumah menyediakan padang yang kurang sempurna di mana pengurus pasukan Datuk Seri Subahan Kamal menyifatkannya sebagai 'bendang' kerana ia telah dibanjiri.
Beliau berkata mana-mana jurulatih ingin melihat latihan pasukan mereka berjalan lancar tetapi peluang itu dinafikan semalam.
Jurulatih itu berkata pasukannya akan bermain bermati-matian untuk menang dan bukan semata-mata mencari keputusan seri esok.
Thailand dan Malaysia terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Ahad lepas.
No comments:
Post a Comment