Mulai 1 Januari 2013, semua permohonan calon untuk menyertai perkhidmatan awam akan ditapis secara dalam talian sebelum layak dipanggil untuk menduduki peperiksaan dan temu duga.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam yakin melalui kaedah baharu itu, tempoh pengesahan jawatan penjawat awam yang sebelum ini memakan masa antara satu hingga tiga tahun dapat dikurangkan kepada setahun hingga enam bulan.
Katanya tapisan dilakukan membabitkan 14 perkara termasuk kesahihan kewarganegaraan Malaysia, sijil kelayakan, rekod jenayah dan rekod kewangan dengan pengesahannya dapat dibuat hanya beberapa jam bagi setiap calon.
"Ini adalah satu inovasi yang pertama kali dilakukan kerana sebelum ini, penapisan latar belakang penjawat awam hanya dilakukan dalam tempoh tiga tahun sebelum mereka sah jawatan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat SPA bersama kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri di bawah bidang kuasa SPA di Putrajaya semalam.
Menurutnya cara itu terbukti berkesan apabila pihaknya menjalankan temu duga bagi 24 jawatan jurutera pada Jun lalu dan surat tawaran perkhidmatan kepada calon yang layak dapat diberikan sebaik saja selesai temu duga.
"Ini menunjukkan kesegeraan yang kita ingin laksanakan dan kita minta kerjasama semua kementerian dan jabatan untuk memaklumkan segera kekosongan jawatan di tempat mereka pada mesyuarat setiap bulan," katanya.
Jelasnya mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai skim persaraan, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan pelarasan tindakan disiplin.
No comments:
Post a Comment