Thursday, December 20, 2012

PDKT Perkenal Kaedah Penarafan JKKK

Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT) akan memperkenalkan satu kaedah penarafan bagi mengukur tahap keberkesanan peranan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mulai tahun depan.

Pegawai Daerah, Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kaedah penarafan itu memberi penekanan terhadap tujuh kategori termasuk dari segi keselamatan, kesihatan, pendidikan, kejiranan, komuniti dan fizikal.

"Kita akan membuat pemarkahan melalui kategori berkenaan bagi menentukan sesebuah kampung itu mencapai tahap perkembangan kemajuan sebenar," katanya selepas majlis Anugerah Kecemerlangan JKKK Daerah Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Katanya, bagi tujuan itu satu bengkel akan diadakan pada 27 hingga 29 Disember ini bagi tujuan pemarkahan terhadap 292 buah JKKK dalam daerah ini yang telah mengisi borang diedarkan.

Menurutnya, setiap keluarga perlu mengisi satu borang biodata isi rumah dan melaluinya JKKK dinilai mengikut tujuh kategori itu.

"Kita ingin mewujudkan suasana 'kampungku rumahku' di mana semua anggota dalam komuniti itu mengambil tanggung jawab bersama terhadap keselamatan, kesihatan dan apa saja aktiviti serta saling menyayangi antara satu sama lain," katanya.

Pada majlis berkenaan, JKKK Bukit Wan diumumkan sebagai JKKK Cemerlang 2012 manakala JKKK Gong Lingai (kedua), JKKK Jalan Tekukur (ketiga) dan JKKK Beladau Kepong (keempat) dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil penghargaan.

Sebanyak 23 daripada 292 JKKK lagi terpilih sebagai JKKK aktif sepanjang tahun dan masing-masing menerima wang tunai RM500 beserta sijil yang disampaikan oleh Wan Nawawi.

Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment