Monday, December 3, 2012

Orang Awam Boleh Tangkap Suspek Tapi Jangan Belasah - Polis

“Orang awam boleh menangkap penjenayah tetapi tidak boleh sesekali menggunakan kekerasan dengan bertindak membelasah suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis,” tegas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini dilihat ramai orang awam yang bertindak mengikut ‘cita rasa’ sendiri terutama menggunakan kekerasan melampau sehingga menyebabkan kecederaan apabila berjaya menangkap individu yang disyaki melakukan jenayah sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Kita tidak halang orang awam bertindak menangkap penjenayah sekiranya berada di lokasi kejadian bagi mengelak penjenayah itu melarikan diri, namun itu tidak bermakna mereka boleh mencederakan suspek sebelum polis tiba.

“Biarlah pihak kami yang menjalankan siasatan selanjutnya terhadap suspek mengikut undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Manoharan berkata, bagi individu yang didapati bersalah melakukan kekerasan terhadap suspek sebelum diserahkan kepada polis, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka.

“Bagi yang didapati bersalah, mereka boleh didakwa di bawah kesalahan kerana merusuh; mendatangkan kecederaan sama ada kecederaan ringan atau parah; dan kesalahan mencederakan menggunakan senjata sekiranya ada dalam kalangan individu itu menggunakan apa jua senjata yang boleh mencederakan suspek,” katanya.

Kelmarin, dilaporkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan sebagai tanda amaran gara-gara kedegilan sekumpulan penduduk yang enggan berganjak membelasah dua suspek yang menyamar Perisik Pegawai Kastam, dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Telaga Daing, Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment