Solah menjawab soalan pemberita mengenai AES kelmarin. |
Ketua Pengarahnya Datuk Solah Mat Hassan berkata walaupun usaha itu ditentang sesetengah pihak termasuk dijadikan isu politik, JPJ kekal dengan keputusan untuk melaksana sistem tersebut yang turut diguna di negara maju.
"Rancangan pelaksanaan AES tidak akan ditangguh dan ia akan diteruskan kerana ia adalah satu usaha murni dan bukan untuk menghukum pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita sebelum mesyuarat tertutup bersama pegawai JPJ Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata buat masa ini, 14 unit AES telah dipasang iaitu tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk empat unit bergerak AES.
Menurutnya sejak pelaksanaan AES 23 Sept lalu pihaknya mendapati kadar kesalahan trafik di beberapa lokasi strategik berjaya dikurangkan 75 peratus.
Dalam pada itu, Solah berkata pihaknya bersedia untuk berjumpa wakil parti politik bagi menjelaskan matlamat sebenar pelaksanaan AES.
"Kalau hendak jumpa boleh, JPJ tidak ada masalah," katanya ketika diminta mengulas dakwaan sistem itu menjadi isu politik dan akan mempengaruhi keputusan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.
Katanya JPJ kini dalam rangka jelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menerangkan fungsi sebenar AES dan faedahnya kepada pengguna jalan raya.
Mengulas tentang unit AES yang menjadi mangsa vandalisme di dua lokasi di Selangor, beliau berkata pihaknya sudah menjangka perkara tersebut akan berlaku sebagaimana kerosakan kepada harta benda awam lain di negara ini.
"Ada yang puas hati dan ada yang tidak puas hati itu sudah kita jangka dan ini juga berlaku di negara lain," katanya.
No comments:
Post a Comment