Monday, December 10, 2012

Pelayar Virgin Island Buat Kejutan Muncul Juara Piala Monsun

Bekas Perdana Menteri bergambar dengan pemenang pada majlis penyampaian hadiah.
Pelayar Virgin Island, Amerika Syarikat, Taylor Canfield membuat kejutan besar apabila menyingkirkan pencabar handalan dunia untuk merangkul kejuaraan Piala Monsun 2012 buat julung kali di Pulau Duyong, kelmarin.

Canfield mengalahkan saingannya dari New Zealand, Phil Robertson dari pasukan WAKA Racing Team pada pusingan akhir, sekali gus meraih kemenangan kedua dalam siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) tahun ini.

Jurumudi berusia 23 tahun itu dari pasukan US One mencapai kemenangan pertama dalam siri AWMRT tahun ini apabila mengungguli sirkit ketujuh Agro Group Gold Cup di Hamilton, Bermuda, dari 1 hingga 7 Oktober lepas.

Bagaimanapun, perlawanan akhir di sini memperlihatkan saingan antiklimaks apabila juara AWMRT 2012 yang baru ditabalkan semalam, Ian Williams dari pasukan GAC Pindar gagal mempertahankan kejuaraan Piala Monsun edisi kali ini.

Canfield bagaimanapun dipaksa bekerja keras dalam perlawanan lima pusingan itu sebelum menang tipis dengan mengumpul 3 mata berbalas 2 oleh Robertson, sekali gus mengesahkan kemenangan sulung miliknya dalam penyertaan pertama beliau pada Piala Monsun 2012.

Sebagai juara Piala Monsun, Canfield yang dibantu empat kru, Hayden Goodrick, Mike Rehe, Dan Morris dan Rod Dawson membawa pulang hadiah wang tunai RM310,000 dengan piala pusingan manakala Robertson meraih RM215,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sejurus pusingan akhir tamat kira-kira 5 petang semalam.

Turut serta pada majlis penyampaian hadiah itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Mohid Mohamed dan Ketua Setiausaha ISAF, Jerome Pels dan Ketua Pegawai Eksekutif AWMRT, James Pleasance.

Dengan berakhirnya saingan kelmarin,  Williams mengumpul 130 mata, manakala naib juara AWMRT dimenangi saingan terdekatnya, Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing dari Sweden. Hansen yang sebelum ini berhasrat menjadi pasukan pertama dari Sweden merangkul kejuaraan WMRT ketinggalan 5.25 mata di belakang Williams dengan 125.25 mata.

Sebagai juara AWMRT, Williams membawa pulang AS$75,000 (RM229,087) dan piala pusingan, Hansen AS$70,000 (RM213,815) manakala tempat ketiga juara dunia AWMRT dirangkul oleh Phil Robertson (WAKA Racing) dengan 103 mata yang membawa pulang AS$65,000 (RM198,542).

Sementara itu, saingan penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan Piala Monsun menyaksikan Williams mengalahkan Datuk Peter Gilmour (YANMAR Racing), 2-0.

Terdahulu pada saingan separuh akhir sebelah paginya memperlihatkan Williams tewas ketika menentang cabaran Robertson dengan keputusan 0-2 manakala Gilmour terpaksa akur 0-2 dengan Canfield. Williams, dari Britain membawa pulang RM155,000 manakala Gilmour dari Australia, membawa pulang RM140,000 setelah menduduki tangga keempat Piala Monsun 2012.

Peserta tunggal negara, Jeremy Koo yang mengemudi pasukan KFC Malaysia/KRT menduduki tempat terakhir, namun masih mampu tersenyum setelah berjaya membawa pulang RM50,000 hadiah tempat ke-12.

Piala Monsun, kejohanan terakhir dari lapan perlumbaan dan penutup AWMRT, menawarkan hadiah keseluruhan RM1.475 juta.

Pada sidang media, Canfield berkata menjuarai dua sirkit terakhir merupakan sesuatu yang begitu menarik sekali. Katanya, beliau berharap untuk kembali mempertahankan kejuaraan Piala Monsun pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment