Wednesday, December 5, 2012

Pelbagai Aktiviti Pada Festival P Ramlee Bulan Ini

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam usahanya menyemarakkan lagi kenangan, sanjungan dan penelitian terhadap seniman negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menganjurkan Festival P.Ramlee yang berisi dengan pelbagai aktiviti.

Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan berkata, mulai bulan ini pelbagai aktiviti diadakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kementerian itu termasuk penganjuran pertandingan Bintang P.Ramlee semalam di Auditorium RTM yang disertai peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei.

"Pertandingan ini akan diadakan setiap tahun oleh RTM,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam, Mohamad Hatta berkata, RTM juga sedang menyiarkan 10 telemovie melalui slot ”Tribute P.Ramlee” dengan mengguna pakai tajuk lagu-lagu P.Ramlee.

"Telemovie ini ditayangkan setiap malam Ahad sejak awal November lalu. Antara tajuk-tajuknya ialah ”Getaran Jiwa”, ”Tunggu Sekejap”, ”Di Manakan Ku Cari Ganti”, ”Hanya Dikau”, ”Titisan Kasih” dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, Istana Budaya pula akan mementaskan Muzikal Ali Baba pada 21 Disember sehingga 29 Disember ini.

"Pementasan teater tersebut pernah diangkat pada tahun 2006 dengan berkonsepkan teater muzikal kanak-kanak. Pada tahun ini, bersempena Festival P.Ramlee, ia diangkat semula buat kali kedua berkonsep remaja dan dibintangi oleh Aznil Nawawi, Fizo Omar, Elfira Roy dan ramai lagi,” katanya.

Mohamad Hatta berkata, Festival P.Ramlee yang bertajuk ”Dari Masa Hingga Masa” merupakan lanjutan dari pelancaran Kursi P.Ramlee selaras dengan harapan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menyuarakan selain melibatkan bidang penyelidikan mengenai P.Ramlee, pelbagai aktiviti perlu diadakan seperti teater, pertandingan gubahan lagu dan sebagainya, bagi mengangkat kejayaan dan kecemerlangan seniman agung negara itu.

No comments:

Post a Comment