Wednesday, December 5, 2012

Cabaran Pantai Media Terengganu 2012 Meriah

Kesibukan melaporkan berita tidak menghalang kira-kira 30 petugas media menyertai Cabaran Pantai Media Terengganu 2012 bersempena penganjuran Rip Curl Pro Surf Terengganu 2012 di Pantai Batu Buruk dekat sini baru-baru ini.

Aktiviti tahunan yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri, Tourism Malaysia Terengganu dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) itu diadakan bertujuan mempromosikan acara-acara pelancongan di negeri itu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Sebanyak 14 pasukan menyertai cabaran itu yang menyediakan lapan jenis tugasan antaranya mencipta replika perahu layar bertemakan TMT 2013, membina istana penyu, halangan pasir serta beberapa acara lain yang menggamatkan suasana pantai peranginan berkenaan.

Pada penganjuran kali ini, pasukan Kawat 1 dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua diperoleh Bernama dan tempat ketiga dimenangi pasukan Utusan/Kosmo dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa barangan sukan bernilai RM1,000, RM800 dan RM600.

Hadiah keseluruhan yang ditawarkan pada cabaran itu bernilai RM3,940 yang disumbangkan oleh Al-Ikhsan.

Dalam pada itu, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Sabri Zakaria memberitahu, penganjuran seumpama itu merupakan satu usaha untuk mempromosikan negeri Terengganu sempena TMT 2013.

Beliau berharap, penglibatan media dalam usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan negeri itu sebagai lokasi pelancongan terunggul di negara mendapat kerjasama yang baik.

"Terima kasih kepada media yang selama ini membantu kita mempromosikan negeri ini dan kita harap ia akan berterusan," katanya baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment