Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan) melepaskan para peserta lumba basikal pada Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit 5, Grand Finale 2012 di Melaka semalam. |
Mohd Saiful mengungguli sirkit ketiga di Kuching, Sarawak serta muncul naib johan pada sirkit kedua di Kelantan merangkul hadiah wang tunai RM3,000 selaku juara keseluruhan.
Bagi acara lepas beramai-ramai wanita, Noor Azian Alias muncul pemenang mengalahkan Masziyaton Mohd Radzi dan Mariana Mohamad.
Ketiga-tiga pelumba menamatkan kayuhan sejauh sembilan pusingan sejauh 136.8 kilometer dengan catatan masa yang sama - 4 jam 4 minit 51 saat dengan purata kelajuan 33.52 kmj.
Pelumba negara yang mewakili Kedah, Masziyaton bagaimanapun muncul juara keseluruhan apabila memungut 68 mata keseluruhan, Nurul Syuhada Zainal dariTerengganu di tempat kedua memperolehi 51 mata dan Noor Azian dari Johor di tempat ketiga memperolehi 50 mata. Masziyaton yang mengukir nama sebagai jaguh acara basikal bukit muncul juara GP keseluruhan untuk tahun kedua berturut-turut merangkul hadiah kemenangan wang tunai RM2,000.
"Tumpuan utama saya ialah pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 di New Delhi, India pada Mac depan" katanya yang merangkul kejuaraan bagi acara kriterium di Bandung, Indonesia tahun ini. Kejohanan GP Kebangsaan di Melaka ialah sirkit kelima sebagai penutup tirai setelah empat GP sebelumnya di Kedah, Kelantan, Sarawak dan Perak.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu merangkumi tiga kategori di pertandingkan dengan melibatkan pelepasan beramai-ramai bagi kategori Lelaki Elit dengan jarak sejauh 228 KM, kategori Wanita Terbuka dengan jarak 136.8 KM dan Lelaki Junior 136.8KM.
Sementara itu, pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi muncul juara bagi acara lepas beramai-ramai lelaki elit pada Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan sejauh 228 kilometer di Bukit Katil semalam.
Mohd Fauzan, 26, yang menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalahkan pelumba Kuala Lumpur, Ahmad Fallanie Ali di tangga kedua setelah masing-masing menamatkan perlumbaan dengan catatan masa yang sama 5 jam 48 minit 18 saat dengan purata kelajuan 40.99 kmj.
Tiga lagi pelumba negara, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd Ekbar Zamanhuri dan Mohd Saiful Anuar Aziz, masing-masing menduduki tangga ketiga, keempat dan kelima setelah menamatkan 15 pusingan dengan ketinggalan 21 saat dari pemenang.
"Saya gembira memenangi kejohanan penutup tirai ini dan berharap kemenangan ini sebagai pemangkin untuk prestasi yang lebih baik pada kejohanan tahun depan," kata Mohd Fauzan kepada pemberita.
Mohd Fauzan adalah pelumba terbaik skuad kebangsaan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini menduduki tangga ke-36 keseluruhan.
No comments:
Post a Comment