Sunday, December 30, 2012

13,900 Peminjam PTPTN Dapat Diskaun RM9.5 Juta

Seramai 13,900 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menyelesaikan pinjaman pembiayaan pendidikan PTPTN bagi menikmati tawaran diskaun sebanyak 20 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, jumlah tersebut direkodkan bagi tempoh 1 Oktober sehingga 15 Disember lepas melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM47.94 juta manakala jumlah bayaran balik yang diterima adalah RM38.36 juta.

Katanya, jumlah diskaun pengurangan bayaran balik adalah sebanyak RM9.59 juta itu dianggap sebagai hadiah kepada peminjam PTPTN serta galakan supaya peminjam tampil membuat pembayaran.

"Diskaun 20 peratus itu diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan hutang secara sekali gus dalam tempoh 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013," katanya semalam.

Ismail berkata, daripada 13,900 peminjam tersebut, seramai 629 orang merupakan peminjam yang telah disenarai hitam dengan jumlah pembiayaan pendidikan sebanyak RM4.07 juta.

 "PTPTN sebelum ini telah mengumumkan bahawa golongan ini layak menikmati diskaun 20 peratus sebagai satu langkah realistik yang membuka ruang kepada mereka untuk melunaskan pinjaman," katanya.

No comments:

Post a Comment