Friday, December 7, 2012

PRU13 - Parti Politik Beri Maklum Balas Positif

Semua parti politik memberi maklum balas positif kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mengendalikan pilihan raya umum ke-13 selepas beberapa sesi taklimat dan simulasi dijalankan di seluruh negara, menurut SPR hari ini.

Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata semua yang menyertai taklimat dan simulasi itu, sama ada parti komponen Barisan Nasional atau parti pembangkang, jelas dan faham tentang beberapa kekeliruan yang timbul sebelum ini.

"Sambutan yang diterima baik sekali setakat ini, dan apa yang penting, kami dapat jelaskan beberapa kekeliruan dalam kalangan pemimpin dan ahli bawahan parti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat dan simulasi kepada sekumpulan pemimpin dan ahli parti politik mengenai kekeliruan berkaitan langkah pembaharuan yang akan dilakukan SPR pada PRU-13 di Kuala Terengganu.

Pada sesi taklimat itu, kira-kira 50 wakil dari Umno, MCA, MIC, Gerakan, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, hadir.

Menurut Noordin, kekeliruan yang timbul dalam kalangan mereka adalah berkaitan undi pos, undi awal serta penggunaan dakwat kekal yang akan dilaksanakan pada pilihan raya umum nanti.

Ternyata SPR berpuas hati dengan persiapan menghadapi PRU-13  yang berjalan lancar dan penerimaan parti-parti politik berhubung penerangan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Setakat ini semua negeri kecuali Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka sudah diberikan taklimat berkaitan proses pilihan raya.

Katanya, SPR kini dalam proses memberi Taklimat dan Simulasi Pengundian yang dijalankan di seluruh negara bagi memberi penerangan secara teperinci mengenai penggunaan dakwat kekal serta pengundi pos.

“Setakat ini kita telah melaksanakan tugas kita dan pemimpin parti- parti politik dilihat berpuas hati,” katanya dalam sidang media selepas program Taklimat dan Simulasi Pengundian kepada Pemimpin Parti-parti Politik Negeri Terengganu di Primula Beach Resort Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama Pengarah SPR Terengganu Haji Fakhrul Razi Abdul Wahab.

Bagaimanapun, Noordin berkata, masih terdapat segelintir individu tidak memahami serta enggan menerima penerangan yang diberi serta terus tidak mempercayai SPR dan anggota polis.

“Kita tak boleh buat apalah dengan orang sebegini, kerana dia terus berkeras mengatakan SPR dan polis ini tidak boleh dipercayai, Yang pentingnya kita telah menjalankan tugas dengan jujur,” katanya. Katanya, walaupun terdapat dakwaan mengatakan ada individu mengundi dua kali tetapi itu sekadar tomahan liar dan ia tidak pernah sampai kepada SPR .

“Saya berharap mereka yang ada bukti sila buat laporan polis agar siasatan boleh dijalankan,” katanya.

Noordin turut memaklumkan sedikit perubahan bagi pengundi pos membabitkan anggota polis yang akan dikendalikan oleh petugas pilihan raya dan wakil parti politik dibenar masuk sebagai pemerhati.

No comments:

Post a Comment