Beliau merasa terharu apabila kerajaan negeri melalui Dana Perubatan Sosial menyumbang pelbagai bantuan untuk bapanya Ismail Mat, 64, yang terlantar sejak setahun lalu akibat serangan angin ahmar.
Misalnya hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) datang menghulurkan bantuan untuk bapanya.
Keluarga tersebut antara 600 rakyat Terengganu yang menerima bantuan di bawah dana berkenaan yang berupa pelbagai kemudahan untuk mereka yang sakit seperti katil, susu dan lampin pakai buang.
Menurut Rozilah, setiap enam bulan, kakitangan JKNT akan datang menjenguk untuk mengetahui apa lagi keperluan bapanya. Beliau tidak membayangkan apa yang akan berlaku kepada bapanya sekiranya tidak mendapat bantuan sedemikian.
Beliau berkata bagi menjaga bapa serta ibunya Zainun Abu Bakar, 53, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaannya dengan gaji sebanyak RM400 sebulan.
"Sebagai anak sulung dari enam beradik, saya mengambil keputusan untuk menjaga ayah kerana ibu tidak terdaya menjaga ayah seorang diri manakala adik-beradik yang lain keluar bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.
"Mujurlah penderitaan kami sekeluarga mendapat perhatian kerajaan negeri," tambahnya. Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menghulur bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada keluarnya, kata Rozilah.
Seorang lagi penerima, Rakni Harun, 47, dari Kampung Seberang Takir menerima bantuan akibat penyakit lumpuh yang dialaminya sejak empat tahun lalu.
Ibunya Mek Wok Mohamad, 72, berkata mereka sekeluarga selama ini hanya bergantung pada bantuan anak-anaknya yang lain dan JKM sebanyak RM300 sebulan
"Tak dapat Tok bayangkan kalau Tok tak dapat bantuan dari kerajaan. Alhamdulillah yang penting, kebajikan anak Tok tidak terabai, dia hanya boleh minum susu khas berharga RM80 setin," katanya.
Sementara itu Pegawai Kerja Sosial Perubatan JKNT, Ahmad Shaifol Nizam berkata dari awal tahun ini sehingga kini, sebanyak RM2.5 juta telah diagihkan kepada 600 rakyat yang menghidap pelbagai penyakit.
No comments:
Post a Comment