Sunday, December 30, 2012

Tiada Penularan Wabak Penyakit Di Pusat-pusat Pemindahan Mangsa Banjir

Wan Mohd Asyraf Abd Wahab bersama sepupunya, Nur Ayuni Dayana Roszuan membasuh kasut sekolah yang telah dikotori lumut ekoran banjir di Kuantan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di Pantai Timur berada dalam keadaan kesihatan baik dan terkawal daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.

Katanya, sehingga ke hari ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai penularan wabak penyakit tertentu di pusat-pusat pemindahan banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Tinjauan tahap kesihatan mangsa dan kebersihan pusat pemindahan sentiasa dilakukan oleh Jabatan Kesihatan, dan setakat ini semua pusat pemindahan yang masih dibuka tiada berlaku penularan wabak penyakit.

"Kita harap dapat kawal keadaan ini dengan baik dan saya minta pihak yang berkaitan sentiasa menjaga kebersihan di pusat pemindahan dan kesihatan mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampai sumbangan serta bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) kepada 182 mangsa banjir daripada 46 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing, Kuantan, kelmarin.

Liow berkata mangsa banjir yang telah dibenarkan pulang ke rumah boleh memohon bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan jika memerlukan pertolongan bagi membersihkan rumah.

No comments:

Post a Comment