Tuesday, December 11, 2012

TMT 2013 - Kerajaan Terengganu Tubuh Sekretariat Promosi Luar Negara


Kerajaan negeri Terengganu menubuhkan sebuah Sekretariat Pelancongan bagi menerajui pelaksaaan aktiviti, galakan dan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata logo TMT 2013 akan dipaparkan pada setiap bahan promosi dan galakan pelancongan yang bakal diadakan di dalam dan luar negara.

"Terdapat sebanyak 34 program yang disusun sempena TMT 2013," katanya ketika menjawab soalan Muhamad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahin berkata kerajaan negeri mengadakan kerjasama yang erat dengan ejen pelancongan terutamanya Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bagi mengadakan bengkel dari semasa ke semasa.

Katanya kerjasama itu antaranya bagi mengadakan aktiviti seperti Matta Travelfair di Kuala Lumpur, Travel Malaysia di Singapura, World Travel Mart di London dan ekspo di Hong Kong, negara Asean dan di Berlin, Jerman di samping Arab Travel Market di Dubai serta beberapa misi jualan ke Sydney, Melbourne, China dan negara jiran.

No comments:

Post a Comment