Tuesday, December 11, 2012

Enam Sekeluarga Berdepan Detik Cemas Disamun Warga Indon


Ibarat mimpi ngeri, enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila tidur malam mereka dikejutkan dengan kehadiran lima penyamun warga Indonesia bersenjatakan parang, sabit dan batang besi, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di Felda Neram, Kemaman, itu, mangsa yang juga pegawai ternak di kawasan berkenaan kerugian hampir RM6,000 selepas beberapa barang berharga dan wang tunai dilarikan penjenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, semasa kejadian, mangsa berusia 54 tahun dan isterinya, serta masing-masing seorang anak lelaki dan anak perempuan yang dalam pantang serta dua cucu berusia 1 dan 2 tahun nyenyak tidur sebelum dikejutkan bunyi bising.

“Selepas berjaya memecah masuk, empat suspek menuju ke bilik mangsa manakala seorang lagi menunggu di luar rumah sebelum mengarahkan enam beranak terbabit diam.

"Penjenayah juga mengikat tangan mangsa dan anak lelakinya berusia 27 tahun, manakala empat ahli keluarga tidak diapa-apakan," katanya, semalam.

Menurutnya, suspek melarikan pelbagai barangan berharga, antaranya beberapa unit telefon bimbit, beberapa bentuk cincin, subang dan gelang emas, jam tangan, komputer riba dan wang tunai berjumlah RM930.

"Selepas semua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal, mangsa segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

“Siasatan awal mendapati, seorang daripada suspek dipercayai cedera akibat terkena sabit berdasarkan kesan tompokan darah di lantai.

Bagaimanapun, semua senjata digunakan ketika rompakan tidak ditemui, dipercayai dilarikan bersama mereka,” katanya.

Manoharan berkata, seorang suspek berjaya ditahan dan sebahagian barang rompakan iaitu barang kemas, komputer riba serta telefon bimbit yang berada bersamanya turut dirampas.

“Sejurus menerima maklumat, pasukan polis peronda berjaya menemui semua suspek yang ketika itu menaiki dua motosikal dari arah Bandar Cheneh ke Felda Neram.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, masing-masing meninggalkan motosikal dan lari ke dalam semak di ladang berkenaan, namun suspek berusia 25 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 4 pagi pada hari sama," katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan bekerja sebagai buruh turut tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Susulan penangkapan suspek pertama, gerakan mengesan empat lagi suspek dilakukan dan kira-kira jam 8.30 pagi, suspek kedua berusia 30 tahun pula ditahan di kawasan ladang sawit dan seterusnya membawa kepada tangkapan suspek ketiga di Felda Bukit Kuantan, kira-kira jam 10.30 pagi, hari sama.

“Gerakan mencari dilakukan dengan kerjasama anggota polis Kemaman dan Kuantan, Pahang. Beberapa barang samun termasuk jam tangan, cincin dan subang emas dirampas daripada suspek kedua dan tiada barang dirampas daripada suspek ketiga," katanya.

Manoharan berkata, modus operandi yang digunakan kumpulan samun terbabit adalah mengambil senjata daripada rumah mangsa.

No comments:

Post a Comment