Seorang warga emas melahirkan rasa syukur kerana walaupun menghadapi banjir, dia tetap mendapat bantuan terutama berupa makanan yang disumbang pihak kerajaan.
"Banjir zaman sekarang tak sama macam dulu. Dulu apabila musim tengkujuh, Tok hanya makan ikan masin dan ikan bilis berulamkan budu. Tapi sekarang banyak makanan Tok dapat dari kerajaan," demikian kata Senik Yusof, 80, dari Kampung Tok Hakim, Alor Limbat.
Wanita ini sering terperangkap di dalam rumahnya setiap kali musim banjir yang berlaku di kawasannya sejak dia kecil lagi.
Senik adalah antara 20 penduduk dari empat keluarga yang mendapat bantuan makanan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah semalam.
Namun mereka tidak dipindahkan kerana rumah mereka tidak dinaiki air hanya menenggelamkan kawasan sekitar dan laluan untuk ke jalan utama.
Mukhtar Abdul Rahman, 43, turut bersyukur kerana menerima pelbagai bantuan makanan kering.
Bapa kepada lima orang anak ini berkata sebelum ini mereka sekeluarga hanya makan makanan yang dibeli sebelum musim tengkujuh seperti sardin dalam tin dan telur.
"Saya sangat berterima kasih kepada Adun Alor Limbat yang sanggup mengharung air menghantar makanan kepada kami sekeluarga setiap kali musim tengkujuh sejak tahun 2004 lagi," katanya.
Sementara itu Alias berkata kedudukan empat buah rumah itu yang berdekatan Sungai Tok Hakim mudah dinaiki air kerana berada di kawasan rendah.\
"Kita telah membina longkang tahun lepas bagi memastikan tiada jalan yang ditenggelami air yang boleh menyebabkan mereka terperangkap dalam rumah.
Namun ia masih belum mampu menampung limpahan air terlalu banyak.
"Kesemua penduduk ini tidak perlu berpindah kerana mereka masih selamat dalam rumah yang memang dibina agak tinggi, cuma kami perlu kerap meninjau keadaan mereka dari semasa ke semasa," katanya.
Pejabat Dewan Undanagan Negeri (Dun) Alor Limbat menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pelbagai bantuan kepada mangsa.
Namun sehingga kini belum terdapat mangsa yang terpaksa berpindah di kawasan Dun ini.
No comments:
Post a Comment