Tuesday, December 25, 2012
LTdL 2013 - Guardini Kembali Bersama Pasukan Astana
Bagi tahun ketiga berturut-turut, Andrea Guardini sekali lagi bakal menjadi perhatian pada aksi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.
Selepas berusaha mengukir karier profesionalnya dengan kemenangan menakjubkan di pulau peranginan Langkawi pada 2011, pelumba pecut kelahiran Itali itu memecah dua rekod pada edisi lalu apabila menjadi pelumba pertama meraih enam kemenangan peringkat dalam satu edisi dan pelumba paling berjaya dalam sejarah jelajah di Malaysia apabila mengumpul keseluruhan 11 kemenangan peringkat.
Sejak itu dia berpindah dari pasukan Pro Benua, Farnese ke pasukan Pro Team, Astana. "Le Tour de Langkawi adalah perlumbaan yang dekat di hati saya.
"Saya gemarkan cuaca panas negara ini dan rakyatnya. Seluruh suasana perlumbaan di sini memberi motivasi yang begitu tinggi kepada saya. "Ketika saya membincangkan kontrak baru bersama Astana, tidak sukar untuk saya bersetuju memandangkan saya berpeluang untuk mengambil bahagian dalam Le Tour de Langkawi sekali lagi.
"Pengurus pasukan memberitahu ini (LTdL) adalah perlumbaan yang begitu penting bagi Astana kerana kami adalah satu-satunya pasukan Pro Team dari Asia," jelas Guardini.
Astana kini diuruskan Alexandre Vinokourov yang memulakan kempen 2012nya di Malaysia dan menoktahkan kariernya dengan kemenangan besar meraih pingat emas di Sukan Olimpik London.
“Cukup menyeronokkan dan hebat untuk melihat Vinokourov kembali ke sini. Melihat dia memenangi pingat emas acara lebuh raya Sukan Olimpik adalah kemuncak bagi peminat berbasikal Malaysia bagi musim 2012 selepas dia mengambil bahagian dalam acara kita dan memberikan persembahan yang baik
"Semangat agresifnya memberi inspirasi kepada ramai kanak-kanak untuk menceburi sukan berbasikal," kata Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi, Emir Abdul Jalal.
Pelumba berusia 23 tahun itu sedar dia akan berdepan cabaran yang sengit dalam henjutan pecut terakhir pada LTdL akan datang kerana lebih banyak pasukan Pro Team menyertai perlumbaan manakala pasukan Europcar juga akan membawa jaguh pecut muda, Bryan Coquard yang memenangi pingat perak acara Omnium di Olimpik London.
SENARAI PELUMBA PRO TEAM ASTANA BAGI LE TOUR DE LANGKAWI : Andrea GUARDINI (ITA), Alexandr DYACHENKO (KAZ), Fabio ARU (ITA), Arman KAMYSHEV (KAZ), Alexey LUTSENKO (KAZ), Ruslan TLEUBAYEV (KAZ).
No comments:
Post a Comment