Usul pengunduran Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan timbalannya, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof gagal dilaksanakan pada kongres persatuan itu semalam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT), Abdullah Sulong, yang sebelum ini bercadang mengemukakan usul itu, berkata hanya agenda ditetapkan saja boleh dibincangkan dalam kongres berkenaan.
“Memang pada mulanya saya mahu mengemukakan usul peletakan jawatan presiden dan timbalan presiden, namun saya diberitahu sebelum mesyuarat bermula yang usul baru tidak boleh dibuat dan kongres hanya akan membincangkan perkara yang sudah ditetapkan.
“Saya juga diberitahu yang isu pemegang jawatan dalam persatuan cuma boleh dibangkitkan dalam kongres pada 2014 ketika pemilihan jawatan dilakukan,” katanya semalam.
Katanya, antara agenda yang dibincang dan diluluskan termasuk meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman (PBSDK) untuk kembali menjadi ahli gabungan PBSNT.
"Perkara lain dibincang adalah kesediaan kerajaan negeri memastikan lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menepati keperluan minimum 1,000 lux supaya perlawanan dapat dilangsungkan pada waktu malam,” katanya.
No comments:
Post a Comment