Thursday, December 13, 2012
Warga Emas 100 Tahun Tetap Mahu Mengundi
"Kalau masih dipanjangkan umur, Pak Long akan tetap keluar mengundi pada pilihan raya kali ini. Semoga Allah panjangkan usia Pak Long supaya dapat mengundi lagi," demikian kata Othman Daud dari Kampung Tanah Liat, Mukim 8 di Bukit Mertajam yang menyambut hari lahirnya yang ke-100 semalam.
Beliau berkata, beliau mula mengundi sejak pilihan raya umum pertama pada 1959 dan tidak pernah terlepas keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya diadakan.
Hari lahirnya diraikan dengan meriah oleh sanak-saudara dalam satu majlis kesyukuran di rumahnya.
Namun beliau tidak pernah berkahwin kerana lebih selesa hidup bersendirian.
Ditanya pemberita mengenai rahsia beliau kekal sihat, Pak Long berkata, beliau sering mengamalkan gaya hidup sihat dengan memakan ulam-ulaman termasuk pucuk 'maman'.
"Tak dak sebarang petua yang diamalkan untuk kekal sihat. Rutin harian Pak Long seperti biasa. Sejak muda lagi selepas solat Subuh, Pak Long akan bersarapan sebelum kayuh basikal kira-kira satu kilometer ke bendang.
"Jam 11 pagi, Pak Long balik berehat dan pi balik ke bendang lepas Zohor. Sekurang-kurangnya empat jam Pak Long di bendang setiap hari," katanya.
Mengenai keluarganya, Othman adalah anak sulung daripada 12 adik- beradik berkata hanya dua adik perempuan dan seorang adik lelakinya yang masih hidup. "Lapan lagi adik beradik Pak Long dah meninggal. Pak Long tinggal dengan anak saudara Pak Long, Faridah Ariffin dan dua adik perempuan Pak Long yang berusia 71 dan 75 tahun.
Othman mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.
No comments:
Post a Comment