Wednesday, December 26, 2012

Warga Kerja PMINT Diminta Sokong Barisan Nasional


Warga kerja Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diminta menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan usaha berterusan dilaksanakan bagi membangunkan negeri dan membela nasib rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata masih banyak agenda Kerajaan BN selepas pilihan raya nanti bagi mencapai tujuan tersebut dan perancangannya akan terbantut jika negeri ini dikuasai parti pembangkang.

“Pemimpin BN akan melaksanakan banyak lagi agenda bagi memacu Terengganu menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2020.


“Oleh itu, warga kerja PMINT perlu menyokong kerajaan sedia ada bagi memastikan kesinambungan usaha-usaha yang dilakukan sekarang ini bagi memajukan negeri dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2012 di Primula Beach Hotel, malam semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Besar PMINT, Datuk Osman Muda; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Datuk Yahya Khatib Mohamad dan pegawai kanan PMINT.

Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada pengurusan PMINT kerana berjaya menguruskan organisasi berkenaan dengan cekap sehingga membolehkan ia mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi pada tahun ini.

“Saya mahu warga kerja PMINT menunjukkan komitmen yang lebih tinggi bagi membolehkan syarikat ini melaksanakan projek-projek yang lebih besar pada masa depan bagi menambah keuntungan,” tambahnya.

PMINT mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM22.3 juta bagi tempoh sehingga 30 November tahun ini, iaitu meningkat 38.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada tahun lalu PMINT mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM16.1 juta.

Sementara itu Osman berkata, prestasi bagi tempoh dua suku pertama tahun ini juga telah melebihi anggaran tahunan dengan pencapaian 106%.

“Manakala nilaian aset bersih PMINT pada tahun ini telah bertambah kepada RM579.8 juta berbanding RM493.1 juta pada tahun lepas,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam berkenaan.

PMINT yakin dengan keadaan kewangan yang kukuh dan disusuli dengan pelan perancangan strategik yang komprehensif, PMINT mampu meneruskan peranannya dalam “Merubah lanskap pembangunan Negeri” untuk terus kekal relevan.

“Penceburan baru PMINT di dalam membangunkan projek high rise building seperti PB Square akan menjadi pemangkin kepada PMINT untuk memperhebatkan pembangunan seumpamanya yang dapat menyediakan lebih banyak ruang pejabat, premis perniagaan dan perumahan di dalam kawasan Bandaraya Kuala Terengganu.

“Di samping itu, PMINT perlu bersedia untuk menguruskan bangunan yang tinggi dan menubuhkan unit pengurusan lebih cekap supaya rakyat dapat menikmati kemudahan kelas pertama,” ujar beliau.

Beliau berkata, PMINT akan sentiasa membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kependudukan dan aset Bumiputera di dalam kawasan bandar dengan melaksanakan pembangunan ke atas tanah yang diambilbalik dan yang berpotensi di dalam bandar.

“Kini sebanyak lapan buah lokasi tanah yang dikenalpasti dengan tujuan pengambilanbalik oleh PMINT di kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

“ Selain kaedah pengambilanbalik tanah, PMINT juga turut mengenal pasti kaedah lain di dalam pembangunan projek iaitu dengan menjalankan projek secara usahasama dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment