Monday, January 7, 2013

5 Taska Masih Tidak Berdaftar Dengan JKM

Abdan (kanan) semasa satu perjumpaan bersama pengusaha taska di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT).
Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) mengesan sebanyak lima buah taska di negeri ini masih belum berdaftar, manakala lima lagi masih dalam proses mendapat kelulusan.

Penyelaras Taska JKM, Mohamed Abdan Ishak berkata, sehingga kini sebanyak 127 taska beroperasi di seluruh Terengganu termasuk lima yang masih dalam proses pendaftaran.

Menurutnya, dalam masa terdekat, dijangkakan semua taska akan berdaftar kerana proses pendaftaran kini menjadi semakin mudah.

“Hanya lima taska yang masih belum berdaftar di Terengganu, lima lagi telah memohon namun saya yakin dan percaya kesemua taska akan mendaftar menjelang tahun hadapan kerana pendaftaran kini menjadi semakin mudah.

“Syarat pendaftaran kini tidak perlu lagi mendapat sokongan atau kelulusan daripada agensi teknikal iaitu, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan namun jika ada, ia lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa satu perjumpaan bersama pengusaha taska di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT).

Bagaimanapun katanya, syarat-syarat asas yang lain masih perlu dipatuhi pengusaha, seperti nisbah pengasuh dengan kanak-kanak mencukupi, iaitu di bawah umur tiga tahun 1:5, tiga hingga empat tahun 1:10 dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) 1:4.

Selain itu, pengasuh merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas, telah hadir dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK), dan mematuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak.

“Menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak.

Taska perlu mempunyai kemudahan peralatan dan perabot sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak, menyedia dan menyelenggara rekod-rekod di Taska.

“Serta menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam dan di luar premis Taska, bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak RM50 dan apa-apa syarat lain yang difikirkan patut dan sesuai,” katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment