Mokhtar ditemui di pelabuhan Cendering kelmarin. |
Tinjauan Sinar Harian di Pelabuhan Chendering mendapati, masih terdapat nelayan yang turun ke laut walaupun keadaan cuaca tidak menentu ketika ini kerana musim tengkujuh masih belum berakhir.
Seorang nelayan, Mokhtar Harun, 51, berkata, jika tidak turun ke laut tiada apa lagi yang boleh dilakukannya kerana itulah punca pendapatan utama mereka selama ini.
“Demi mencari rezeki untuk keluarga, kita redah juga. Sekurang-kurangnya dapat juga hasilnya walaupun mungkin tidak banyak. Jika bernasib baik dapat hasil lebih daripada biasa.
"Begitulah rutin kami, walaupun mungkin ada sebahagian rakan-rakan (nelayan) mengambil keputusan berehat sahaja pada musim ini tetapi jika berehat, tiadalah pendapatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, mereka tetap mengutamakan keselamatan dengan keluar secara berkumpulan dan juga sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan maklumat terkini.
Katanya, setiap bot yang keluar juga perlu memastikan peralatan keselamatan lengkap sebagai persediaan sebarang kemungkinan yang berlaku.
“Kita juga tidak tinggal lama di laut sebagai langkah keselamatan. Kalau musim biasa, dua atau tiga hari sekali barulah kami mendarat, tetapi kerana musim ini, kami keluar awal pagi dan balik tengah hari.
“Hasil tangkapan juga tidak menentu iaitu sekitar RM800 hingga RM1,000 sekali mendarat.
Tolak minyak dan juga perbelanjaan lain-lain, setiap seorang dapat sekitar RM120,” katanya. Menurutnya, sejak tengkujuh bermula, biasanya tiga atau empat kali seminggu mereka akan turun ke laut bergantung kepada keadaan ombak.
Mokhtar berkata, selain ikan, udang juga banyak pada musim ini.
No comments:
Post a Comment