Sunday, January 13, 2013

Angkasa Peruntukkan RM1.2 Juta Untuk Koperasi Siswa

Abdul Fattah (kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada wakil setiap IPTA yang menyertai Seminar Peluang Perniagaan di IPT, di Kuala Terengganu, semalam.
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperuntukkan RM1.2 juta tahun ini bagi memastikan program yang dirancang untuk menjayakan koperasi siswa dapat dilaksanakan.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini, hampir 200 buah koperasi siswa yang telah didaftarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

 “Angkasa bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengambil inisiatif memperhebatkan penubuhan koperasi di setiap IPT bagi mencapai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk capai 100 peratus koperasi di IPTA dan 50 peratus di IPTS.

 “Walaupun begitu, jumlah terkini koperasi siswa masih kecil berbanding jumlah keseluruhan IPT iaitu kira-kira 650 diseluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Seminar Peluang Perniagaan di IPT, di Kuala Terengganu,  semalam.

Seminar selama dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta daripada lima buah IPTA daripada Terengganu dan Kelantan. Antara yang terlibat ialah Koperasi Politeknik Hulu Terengganu Bhd, Koperasi Siswa UiTM Machang, Koperasi IPG Datuk Razali Ismail Kuala Terengganu, Koperasi Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu dan Koperasi Siswa UiTM Dungun.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Terengganu, Mohamed Jais Hassan.

Abdul Fattah berkata, mengikut perangkaan terkini SKM, sehingga 31 Disember 2012, bilangan koperasi meningkat sehingga lebih 10,000 di seluruh negara yang melibatkan jumlah keanggotaan seramai 8 juta dengan modal syer bernilai RM11 bilion dan aset sebanyak RM93 bilion serta perolehan sebanyak RM2.3 juta.

“Angka ini secara tidak langsung menggambarkan sumbangan besar sektor koperasi dalam menjana ekonomi negara walaupun hanya mewakili tiga peratus sahaja Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berjumlah RM743.5 bilion pada 2012,” katanya.

Dalam masa yang sama, Abdul Fattah turut mempelawa mana-mana koperasi baru ditubuhkan untuk menyertai Angkasa yang kini mempunyai sekitar 5000 ahli.

“Permohonan untuk menjadi ahli Angkasa amat mudah, mereka hanya perlu mengisi borang untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tahun ini, Angkasa juga buat julung kalinya menawarkan biasiswa peringkat PhD kepada anak-anak ahli koperasi dan Angkasa di bawah program Yayasan Angkasa. Program itu telah ditubuhkan sejak 2003 dan telah membantu lebih 300 anak-anak ahli koperasi dan Angkasa yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment