Sunday, January 13, 2013
TMT 2013 - Polis Tingkat Rondaan, Kawalan Keselamatan
Polis Terengganu akan mempertingkat rondaan dan kawalan keselamatan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, langkah itu bagi menjamin tahap keselamatan pelancong tempatan mahupun luar negara yang berkunjung ke negeri ini.
Katanya, pihaknya juga akan memperluas rondaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong seperti pusat peranginan serta di kawasan pantai selain beberapa lagi lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
"Inisiatif ini diambil dalam usaha mencegah perkara yang tidak diingini serta meyakinkan para pelancong untuk bertandang ke Terengganu," katanya ketika dihubungi.
Jamshah berkata, polis juga meronda menggunakan motosikal, kereta, berjalan kaki dan berbasikal di kawasan tumpuan pelancong.
Menurutnya, rondaan berbasikal yang diperkenalkan sejak pertengahan tahun lalu adalah langkah terbaik bagi melakukan rondaan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai itu. Dengan rondaan berbasikal, orang awam lebih menyedari kehadiran polis dan paras ketinggian anggota menaiki basikal memudahkan mereka untuk meninjau keadaan sekeliling, katanya.
"Saya percaya kehadiran anggota polis dengan berbasikal akan memudahkan orang awam terutama pelancong yang mengalami kesulitan mendapatkan maklumat atau bantuan," katanya.
Beliau berkata, selain menjaga keselamatan dan membendung kejadian jenayah, kehadiran polis juga akan dapat membantu dan menyelesaikan masalah orang ramai seperti untuk mendapat petunjuk jalan.
No comments:
Post a Comment