Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sedang dibaik pulih untuk kali ketiga, membabitkan ukiran tembaga atau 'peleh' pada bahagian bumbung.
Speaker Dun Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, proses baik pulih itu yang bermula November lepas membabitkan perbelanjaan RM1.3 juta dan dijangka siap Mac ini.
"Sebelum ini kita sudah baiki di bahagian dalam bangunan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 juta," katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan anak perempuannya di kediamannya, di Kuala Berang semalam.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu. Keberangkatan tiba baginda diiring Setiausaha kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.
Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.
Tengku Nur Hakimah, 23, seorang peguam, merupakan anak ketiga Tengku Putera manakala pasangannya Mohamad Izuddin Ismail, 24, seorang pegawai teknologi maklumat adalah anak bongsu Pegawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal Ismail Nik.
No comments:
Post a Comment