Sunday, January 13, 2013

Berbasikal Bersama Masyarakat Alternatif Polis Cegah Jenayah


Program Jom Kayuh Cegah Jenayah merupakan alternatif terbaharu yang digunakan Polis Terengganu bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata program yang julung kali diadakan ini dilihat mampu merapatkan hubungan polis dengan masyarakat selain memperoleh maklumat mengenai corak jenayah di kawasan mereka.

Katanya program berbentuk aktiviti riadah ini akan diperluaskan ke kawasan yang mencatat kadar jenayah tinggi di daerah-daerah.

"Lazimnya penduduk akan ingat polis ini hanya tangkap orang sahaja namun dalam masa yang sama mereka tidak sedar mereka juga boleh berinteraksi dan berkongsi maklumat terutamanya melibatkan kes jenayah di tempat mereka.

"Ini adalah platform terbaik untuk kita mendekati penduduk kampung dengan perkongsian dan penyebaran maklumat serta kepercayaan masyarakat terhadap polis," katanya selepas merasmikan Program Jom Kayuh Cegah Jenayah di Kampung Lingai, Batu Rakit di Kuala Terengganu, semalam.

Program itu turut disertai 160 orang terdiri daripada anggota Kelab Basikal PDRM Terengganu, anggota kelab basikal dari Terengganu dan Pahang serta penduduk setempat. Jamshah berkata program kemasyarakat bersama pihak polis seumpama itu akan diteruskan di masa ke masa mengikut kesesuaian.

"Sebelum ini, kita memang sentiasa mengadakan program bersama masyarakat namun kali ini kita ingin mencari sedikit kelainan bagi menarik minat lebih ramai orang kampung untuk bersama dengan polis," katanya.

Dalam perkembangan lain Jamshah berkata polis akan meningkatkan rondaan anggotanya di kawasan tumpuan awam melalui Unit Ronda Berbasikal polis pelancong Terengganu yang ditubuhkan pertengahan tahun lepas.

No comments:

Post a Comment