Monday, January 28, 2013

BN Perlu Menang Besar Untuk Teruskan Pembangunan


Pembangunan yang dirancang di seluruh Kuala Terengganu akan berjalan lancar, jika Kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru menerusi kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pelbagai pembangunan yang dirancang serta bakal dibangunkan di seluruh Bandar Raya Kuala Terengganu itu juga turut memberi manfaat kepada 20,000 pengundi masyarakat Tionghua yang tinggal di kawasan itu.

Menurutnya, antara pembangunan tersebut termasuklah bangunan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu setinggi 30 tingkat dan satu lagi blok bangunan di Kampung Tanjung dengan reka bentuk yang sama setinggi 31 tingkat.

“Pembangunan dirancang ini bakal membangunkan seluruh Bandaraya Kuala Terengganu malah turut juga memberi manfaat kepada 20,000 pengundi masyarakat Tionghua.

“Kita akan lakukan semua ini dalam masa lima tahun akan datang, sebab itu kita perlukan mandat baru dan seterusnya memenangi PRU13 dengan kemenangan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada makan malam dan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat Cina, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Adun Bandar, Datuk Toh Chin Yaw yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Pengerusi Dewan Perhimpunan Tionghua, Tan Beng San dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Datuk Low Kian Chuan.

Ahmad Said berkata, selain sokongan masyrakat Tiounghua juga diingatkan tidak terpengaruh dengan desakan dan propaganda pihak luar memandangkan apa yang sudah dikecapi semua kaum di negara ini kini amat selesa, harmoni dan terhindar dari masalah.

Katanya, Kerajaan Negeri sedia tunaikan keperluan penduduk di negeri ini tanpa mengira kaum asalkan ia mendatangkan manfaat dan memberi kepentingan ramai.

Menurutnya, ada isu yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini membabitkan permohonan bajet projek pembangunan di sebuah sekolah di bandar ini akibat kenaikan ketara perbelanjaan keseluruhan yang menimbulkan keraguan dan memerlukan penelitian semula pihaknya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment