Monday, January 28, 2013

RM50 Juta Bantu Penjaja, Peniaga Kecil - Ismail Sabri


Seramai 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil berbilang kaum di seluruh negara boleh memohon pinjaman Skim Pembiayaan Mikro tanpa faedah berjumlah RM50 juta, mulai semalam.

Skim pinjaman mudah dari RM1,000 hingga RM50,000 yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri kepada semua kaum itu sebagai menghargai sumbangan penjaja dan peniaga kecil dalam menjana ekonomi negara.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata kementerian itu mendapat persetujuan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melaksanakan skim pinjaman berkenaan minggu lalu.

Skim pinjaman mudah Katanya, penjaja dan peniaga kecil boleh membuat permohonan skim berkenaan di Bank Rakyat dengan tempoh kelulusan pinjaman antara lima hingga 10 hari.

”Ini adalah skim pinjaman mudah tanpa faedah kerana kerajaan yang akan menanggung kadar faedahnya bagi mengurangkan beban peniaga yang membuat pinjaman berkenaan untuk modal pusingan dan membeli peralatan niaga.

“Kita memberi keutamaan pinjaman ini kepada peniaga dan pemilik restoran yang menyertai Menu Rakyat 1Malaysia kerana menghargai inisiatif mereka berbuat demikian demi pengguna,” katanya di Temerloh semalam.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, tempoh bayaran untuk skim pembiayaan mikro itu adalah lima hingga sembilan tahun dan pinjaman ini tidak memerlukan penjamin dan cagaran selain dikecualikan dari semakan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Pusat (CCRIS).

Pengusaha restoran di Lurah Semantan, Arif Ariffin, 56, berkata, skim pembiayaan mikro itu boleh membantu menaik taraf gerai dan membeli kelengkapan peralatan baru di premisnya.

Beliau berkata, pinjaman mudah itu dapat membantu menambah modal pusingan sekali gus meningkatkan pendapatan jangka panjang. “Kami berharap kerajaan menyediakan bantuan sebegini kerana sukar bagi peniaga dan penjaja kecil membuat pinjaman di bank dengan kadar faedah tinggi,” katanya.

Peniaga makanan di Lurah Semantan, Zarosnita Mahmud, 46, pula berkata skim pinjaman tanpa cagaran dan penjamin itu adalah bukti keprihatinan kerajaan untuk kebajikan kewangan golongan peniaga kecil. Manfaat bantuan diberi kerajaan.

“Saya ada buat pinjaman ini dan sudah pasti mahu memanfaatkan bantuan disediakan kerajaan untuk meningkatkan perniagaan saya masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, peniaga sayur, Tan Kian Seng, 45, berkata, menerusi skim pinjaman berkenaan, peniaga boleh mengembangkan perniagaannya dengan membesarkan kedai.

“Malah, saya juga dapat mempelbagaikan hasil jualan sayuran seterusnya boleh membantu menambah pendapatan harian,” katanya.

Peniaga makanan ringan, R Letchumi dari Taman Bukit Bendera, Mentakab, berkata beliau bercadang memohon pinjaman berkenaan untuk membeli gerai tetap.

“Saya kini terpaksa berniaga secara ‘bergerak’ menggunakan motosikal supaya dapat menambah pelanggan seterusnya meningkatkan pendapatannya,” katanya

Berita Harian

No comments:

Post a Comment