Thursday, January 31, 2013

Dakwaan Pembangkang Karut - FGV Kekal Prestasi Terbaik

FGV kekal prestasi terbaik Sabri (tengah) bersama pengurusan kanan FGV tertarik melihat foto asal penubuhan FELDA sambil mendengar penerangan Pengurus Pusat Sumber NSTP, Ramlan Ramli (dua dari kanan) di Pusat Sumber NSTP di Balai Berita, semalam.
Berbeza dengan dakwaan pembangkang, FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berada pada landasan terbaik untuk mengakhiri tahun kewangan pertamanya sebagai syarikat senaraian awam dengan mencatat prestasi kewangan yang mantap.

Ia antara lain didorong prospek baik jualan minyak sawit mentah (MSM) serta manfaat daripada peningkatan produktiviti dan kecekapan pengeluaran khususnya selepas syarikat itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lalu.

Prestasi terbaik itu juga selaras dengan pelaksanaan beberapa strategi pengembangan perniagaan kumpulan yang sudah direalisasikan sepanjang tahun kewangan semasa.

Selain itu, ia juga dibantu oleh peningkatan sumbangan daripada anak syarikat di bawahnya. Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Sabri Ahmad, berkata bersandarkan kepada faktor berkenaan, kumpulan yakin syarikat berupaya meraih keuntungan yang stabil tahun ini meskipun berdepan keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu serta arah aliran harga komoditi yang lebih rendah.

“Unjuran (prestasi kewangan) untuk FGV tahun kewangan semasa ini adalah baik. Kami jangka keuntungan dapat dikekalkan. Ia (keuntungan) juga dalam unjuran kebanyakan penganalisis,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Balai Berita di Kuala Lumpur, semalam.

 Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2012, FGV mencatat keuntungan bersih RM900 juta berbanding RM1.5 bilion yang diraihnya pada tempoh sama 2011.

Ini diraih daripada pendapatan RM9 bilion, peningkatan 61.9 peratus berbanding RM5.58 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Penganalisis sebelum ini yakin FGV, pengeluar MSM terbesar dunia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 3.3 juta tan setahun, mampu meraih keuntungan bersih kira-kira RM1.7 bilion pada tahun kewangan 2012.

Ia bersandarkan kepada faktor jangkaan tambahan hasil jualan MSM serta peningkatan sumbangan daripada beberapa anak syarikat terasnya, termasuk MSM Malaysia Holdings Bhd.

Sementara itu, Sabri berkata, FGV melihat harga semasa MSM, yang kini berlegar sekitar RM2,490 setan, sebagai paras yang ‘agak baik’ buat peserta industri meskipun berada dalam situasi yang agak lemah.

“Kami melihat harga semasa MSM ‘agak baik’, namun tindakan lanjut bagi menstabilkan lagi harga perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelak ia (harga MSM) terus jatuh susulan peningkatan stok simpanannya, khususnya apabila bermulanya musim tuaian pada Oktober ini,” katanya.

Selain itu, FGV menerima tawaran pembelian 20 peratus kepentingannya dalam Tradewinds (M) Bhd (Tradewinds Malaysia), sekali gus membolehkannya meraih keuntungan 165 peratus daripada pelaburannya dalam syarikat gula dan perladangan sawit itu.

Tawaran itu dikemukakan oleh empat pemegang saham utama Tradewinds Malaysia, iaitu Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Kelana Ventures Sdn Bhd, Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd dan Acara Kreatif Sdn Bhd pada 24 Disember lalu.

Keempat-empat pemegang saham itu menawarkan untuk membeli 59.3 juta saham atau 20 peratus kepentingan yang dimiliki FGV dalam Tradewinds Malaysia itu pada harga RM551.49 juta atau RM9.30 sesaham. FGV dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, hasil yang akan dijana daripada penjualan berkenaan akan digunakannya sebagai modal kerja dan mengembangkan perniagaannya untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Penjualan itu, katanya membolehkan FGV meraih pulangan menarik ke atas pelaburannya memandangkan harga yang ditawarkan itu mewakili premium 165 peratus daripada pelaburan asalnya, iaitu RM3.50 sesaham.

“Lagi pun jika FGV tidak menerima tawaran itu, kumpulan hanya akan memiliki pengaruh minimum ke atas hala tuju strategik Tradewinds Malaysia kerana hanya mempunyai kepentingan minoriti.

“Justeru, terdapat risiko hala tuju syarikat itu (Tradewinds Malaysia) mungkin tidak selaras dengan wawasan dan strategi jangka panjang kumpulan,” katanya.

FGV membeli 20 peratus kepentingan dalam Tradewinds Malaysia pada 1 Januari 2010 daripada Grenfell Holdings Sdn Bhd.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment