Thursday, January 31, 2013

Kajian - Siswa Kata Najib Lebih Popular Berbanding Anwar


Satu tinjauan oleh sekumpulan ahli akademik di kalangan mahasiswa di tiga universiti awam menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih popular berbanding ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat lain.

Tinjauan berkenaan mendapati Najib popular di kalangan 67.4 peratus siswa, berbanding Anwar (52.2 peratus), presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (33.1 peratus) dan Lim Kit Siang (15 peratus).
Tinjauan ke atas 3,015 responden dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dijalankan oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) antara 9 hingga 12 Disember tahun lepas.

Hasil kajian tersebut dibentang oleh Prof Emeritus Datuk Dr Sulaiman Md Yassin sewaktu membentangkan kajian maklumbalas daripada 1,000 mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kajian seterusnya, masing-masing di UM dan UKM, hanya menyebut prestasi kepimpinan Najib tetapi tidak membandingkannya dengan pemimpin lain.

Di UM, seramai 41.4 peratus daripada 1,009 siswa menyatakan prestasi kepimpinan Najib baik, manakala 40.9 peratus menyatakan sederhana dan selebihnya menyatakan lemah.

Sementara di UKM pula, 75.1 peratus daripada 1,006 siswa lagi menyatakan prestasi kepimpinan perdana menteri baik dan 15.2 peratus menyatakan sederhana.

Selain itu, taburan responden juga dibahagikan mengikut negeri masing-masing. Data yang digariskan dalam kajian itu menonjolkan populariti Najib di kalangan siswa dari negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, dan dua negeri yang dianggap kubu kuat BN.

Populariti Najib mencapai 60.8 peratus di kalangan siswa Kelantan dan seterusnya Pulau Pinang (55 peratus), Kedah (68.3 peratus), Selangor (54 peratus), Sabah (54 peratus) dan Sarawak (61.6 peratus).

Kajian Maklumbalas Pengundi Mahasiswa itu juga menunjukkan antara ciri perdana menteri yang dikehendaki mereka adalah kemampuan mentadbir negara, keadilan dan kesaksamaan, bersih dan bebas dari sebarang isu, menepati janji, kebolehupayaan dan mendampingi rakyat.

No comments:

Post a Comment