Kerajaan Amerika akan menambah jumlah Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) ke Malaysia setiap tahun dalam usaha meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara, kata Duta Besar Amerika ke Malaysia Datuk Paul W.Jones.
Beliau berkata hubungan baik antara rakyat Malaysia dan Amerika menjadi asas penting dalam meningkatkan hubungan kedua-dua negara.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obamabersetuju untuk merapatkan lagi hubungan antara golongan muda dari kedua-dua negara.
"Selain membantu mengajar bahasa Inggeris, kebanyakan ETA ini, yang baru saja menamatkan pengajian di universiti dan berusia dari 22 hingga 25 tahun, juga akan berpakaian seperti rakyat Malaysia dan makan makanan tempatan.
Setelah tamat tempoh perkhidmatan, mereka akan terus berinteraksi dengan rakan dari Malaysia melalui media sosial," kata Jones kepada pemberita selepas majlis makan malam bagi meraikan kedatangan 75 ETA lepasan program Fullbright Amerika di kediamannya malam semalam.
ETA berkenaan akan membantu mengajar bahasa Inggeris di beberapa sekolah di Johor, Pahang, Perak dan Terengganu hingga akhir tahun ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud. - Bernama
No comments:
Post a Comment