Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menempatkan penguatkuasa bertugas di menara tinjau bagi mengawal persisiran pantai Batu Burok bermula awal Januari lalu.
Setiausaha MBKT, Encik Samiun Salleh berkata, dua buah menara tinjau yang dibina oleh MBKT kira-kira dua tahun lalu adalah bagi tujuan keselamatan.
Katanya, sebelum ini rondaan dan kawalan dibuat hanya pada waktu-waktu tertentu terutama pada musim tengkujuh untuk mengawal pantai memandangkan kawasan tersebut merupakan lokasi kunjungan ramai.
“Sekarang kita menempatkan dua pembantu penguatkuasa yang bertugas dari jam 8 pagi hingga 5 petang sejak awal Januari lalu, dengan bertugas secara bergilir-gilir atau syif,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini menara tinjau yang dibina dengan anggaran kos lebih RM10 ribu setiap satu dikawal hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja terutama ketika musim tengkujuh kerana kekurangan kakitangan.
Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan ada kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat untuk bermadu asmara dan juga melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Katanya, pengunjung tempatan mungkin telah mengetahui tentang pantai ini yang tidak boleh mandi, tetapi bagi pelancongn atau pengunjung luar tidak mengetahui tentang keadaan sebenar pantai di Kuala Terengganu.
Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jaheat) untuk mencegah perkara perkara-perkara tidak diingini terutama pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment