Friday, January 4, 2013

Forum Amanat Haji Hadi Di RTM Tidak Diteruskan - Rais

 
 "Fatwa berkenaan melarang orang Islam menyebar, mengajar, mempelajari dan mengamalkan amanat tersebut selain menjual, mencetak, mengedar, membeli atau memilikinya...Sehubungan itu, kementerian dan RTM khususnya adalah terikat dengan fatwa yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan."
- Datuk Seri Dr Rais Yatim

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan tidak akan melaksanakan cadangan untuk mengadakan forum bagi membincangkan Amanat Haji Hadi menerusi RTM.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penyiaran amanat tersebut menyalahi fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 24 Julai 2002.

Menurut beliau, berdasarkan fatwa itu, amanat yang disampaikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981 adalah bercanggah daripada segi ajaran Islam.

Rais memberitahu, Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta bercanggah dengan prinsip dakwah Islamiah.

Jelasnya, fatwa berkenaan melarang orang Islam menyebar, mengajar, mempelajari dan mengamalkan amanat tersebut selain menjual, mencetak, mengedar, membeli atau memilikinya. ''Sehubungan itu, kementerian dan RTM khususnya adalah terikat dengan fatwa yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan.

''Kesimpulannya, forum berkenaan tidak dapat diadakan kecuali jika Abdul Hadi bersedia menarik balik amanatnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rais mengulas perkembangan terkini tentang penganjuran forum bagi memberi ruang kepada Abdul Hadi muncul di kaca televisyen secara langsung selama sejam bagi menerangkan keadaan sebenar berhubung amanatnya yang mengkafirkan ahli-ahli dan penyokong UMNO.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mendapat pandangan daripada pelbagai pihak.

No comments:

Post a Comment