Semua guru silat di negeri ini bakal menerima ganjaran wang tunai daripada kerajaan negeri berjumlah RM1,200 seorang bermula tahun ini.
Bantuan one-off itu bakal diagihkan kepada 134 guru silat yang berdaftar di bawah Persatuan Seni Silat Negeri Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata bantuan itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan mereka mewarisi seni mempertahankan diri serta sudah banyak mengharumkan nama negeri dan juga negara di bidang itu selama ini.
“Mesyuarat exco membuat keputusan untuk memberikan sedikit sumbangan kepada guru silat di negeri kita secara one-off sebanyak RM1,200 seorang kepada 134 orang.
“Sumbangan kepada guru silat yang berdaftar di bawah Persatuan Seni Silat Terengganu itu sebagai tanda penghargaan dan memberi suntikan semangat kepada mereka.
“Kerajaan negeri pernah menyediakan bantuan seumpama itu sebelum ini dan ia diteruskan semula di mana kita bersetuju untuk memberikannya sekali setahun bermula tahun ini,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) dengan Telekom Malaysia (TM )
Berhad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Ramli Shahul Hameed dan Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab dan prihatin dalam memenuhi tuntutan kumpulan itu sebagaimana permohonan yang pernah dikemukakan mereka menerusi persatuan sebelum ini.
Teganukita
No comments:
Post a Comment