Sunday, January 20, 2013
Hari Keluarga WDI Meriah, Khadijah Menang Motosikal Yamaha
Genap 30 tahun berkhidmat dengan jabatan kerajaan memberi tuah kepada Puan Khadijah Jusoh, 52, apabila memenangi hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha LC 135 berharga RM6,400 sempena cabutan bertuah Majlis Hari Keluarga Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, semalam.
Lebih manis apabila nama kakitangan Unit Pinjaman Kerajaan di Pejabat Perbendaharaan itu diumumkan oleh penganjur selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membuat cabutan untuk tiga pemenang hadiah utama.
Menteri Besar kemudiannya menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang utama.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah.
“Alhamdulillah selepas 30 tahun berkhidmat, saya mendapat hadiah utama yang cukup bernilai buat kami sekeluarga ini. "Sebelum ini saya hanya mendapat hadiah yang tidak seberapa dan awal 2013 memberi tuah pula kepada saya dan pastinya saya akan gunakan motosikal ini untuk kegunaan sendiri dan juga suami, Mohd Nasaruddin Hamzah,” katanya.H
Sementara itu Menteri Besar meluangkan masa hampir sejam bersama kira-kira 3,000 kakitangan dan keluarga warga Wisma Darul Iman pada acara tahunan yang menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah.
Ahmad Said dalam ucapan ringkasnya, berharap supaya hari keluarga seumpama itu menjadi medan bagi mengeratkan hubungan di kalangan kakitangan bersama ahli keluarga.
Katanya, hubungan baik seumpama itu wajar diteruskan setiap kali berurusan dengan masyarakat luar dan memberi perkhidmatan terbaik supaya imej sektor awam sentiasa baik dan dihormati semua pihak.
“Ia juga selaras dengan konsep yang kita terapkan iaitu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , di mana rakyat diutamakan dan mereka akan berasa lebih selesa dalam apa jua aspek,” katanya.
Antara acara yang disediakan termasuk cabutan bertuah, penyampaian hadiah kepada anak-anak kakitangan yang cemerlang dalam peperiksaan awam 2011; sukaneka untuk kanak-kanak mahu pun dewasa.
Pada malam sebelumnya diadakan pertandingan karaoke yang disertai lebih 30 kakitangan KWDI yang mewakili kelab masing-masing dan berjaya tampil dengan bakat serta gaya tersendiri.
No comments:
Post a Comment