Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) membuka lembaran baru bagi membolehkan kerajaan negeri menyusun strategi
menjadikan industri pelancongan sebagai sumber baru ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kerajaan negeri menyasarkan empat juta pelancong berkunjung ke negeri ini dengan anggaran pendapatan kira-kira RM8 bilion tahun ini.
"Anggaran pendapatan itu adalah dengan jangkaan setiap pelancong berbelanja purata RM2,000 seorang selama berada di Terengganu antara dua dan tiga hari.
"Sasaran itu juga berdasarkan hasil perolehan TMT 2008 dahulu secara keseluruhan membabitkan perhotelan, pengangkutan, jualan barangan kraf, peniaga kedai makan, restoran serta perusahaan kecil makanan yang mencatatkan jumlah RM11 bilion," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Abdul Rahin berkata, menerusi fokus pembangunan industri pelancongan, kerajaan negeri juga mengambil langkah menjadikan Tasik Kenyir yang mempunyai lebih 300 pulau sebagai destinasi pelancongan utama dan bertaraf antarabangsa di rantau ini.
Katanya, kerajaan pusat meluluskan kawasan bebas cukai di tasik buatan manusia terbesar itu yang dijangka dibuka tahun depan dengan sasaran kedatangan pelancong sehingga 400,000 orang.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang membangunkan beberapa pulau di kawasan tasik itu yang dianggarkan menelan belanja keseluruhan RM500 juta termasuk Pulau Bayas yang menjadi tapak utama kawasan bebas cukai dengan mempunyai pusat beli belah bertaraf antarabangsa.
Pulau-pulau lain yang dimajukan termasuk pulau orkid, pulau burung, pulau tropika dengan tanaman beraneka pokok buah-buahan, pulau herba selain santuari kelah dan gajah yang mampu menjadi daya tarikan utama pelancong berkonsepkan ekopelancongan.
Katanya, sempena TMT13 kerajaan bersama jawatankuasa pelancongan negeri sudah mengatur 34 acara dan program untuk menyambut kedatangan pelancong ke negeri ini, sekali gus membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMT14).
Beliau yakin Tasik Kenyir mampu muncul sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini pada masa akan datang berdasarkan kedatangan 369,098 pelancong asing dan domestik sejak Jan hingga Nov tahun lepas berbanding 241,412 orang dalam tempoh yang sama tahun 2011.
Peningkatan 53.22 peratus kedatangan pelancong ke tasik itu membuktikan galakan, promosi dan penganjuran pelbagai acara ke destinasi itu membuahkan hasil.
No comments:
Post a Comment