Saturday, January 19, 2013

JMPP, Pemuda UMNO - Terus Dihina, Kesabaran Umat Islam Di Kemuncak


Individu politik yang bukan beragama Islam diingatkan agar tidak terus mempersenda dan menghina Islam yang dianggap sudah keterlaluan.

Penyelaras Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, tindakan biadap itu kini semakin kerap berlaku dan lebih dikesalkan setelah membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam, tidak mahu meminta maaf.

"Ini bukan masanya lagi untuk perli, persenda dan hina agama Islam dan kemudian minta maaf. Senang saja, sudah menghina dan mempersenda dengan minta maaf. Perkara itu seolah-olah selesai sedangkan pihak tidak bertanggungjawab ini terus mempersendakan agama Islam.

"Bagi Ketua Menteri, Lim Guan Eng pula, kita pun tidak mahu pengakuan maaf darinya, pintu maaf untuknya sudah tertutup.
 
Apa yang perlu dilaksanakan sekarang adalah pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang ke atasnya (Guan Eng)," katanya kepada media di hadapan kediaman Yang di-Pertua Negeri di Sri Mutiara, semalam.

Menurutnya, kesabaran umat Islam kini berada di puncak selepas semakin ramai individu yang berani menyentuh soal agama Islam antaranya penggunaan kalimah ALLAH, solat dan wanita yang bertudung.

"Individu yang tidak bertanggungjawab ini semakin berani dan celupar dengan menyentuh beberapa perkara di dalam agama Islam. Jika umat Islam masih berdiam diri, apa pula selepas ini yang akan mereka persenda dan persoalkan?

"Ini bukan soal politik tetapi maruah agama Islam iaitu agama rasmi negara ini. Saya ingin ingatkan, jangan sampai umat Islam bangkit dan mengambil undang-undang sendiri," katanya.

Mohamed Hafiz menyerahkan sepucuk surat kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri, Shahul Abdul Hamid untuk disampaikan kepada Tun Abdul Rahman Abbas agar menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, antara kandungan surat itu adalah meminta Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan terhadap individu yang dikesan cuba mempersoalkan hak agama Islam.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp), Datuk Salleh Man Mat Aji dan Exco Agama Islam Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim supaya menjalankan tanggungjawab demi kepentingan agama Islam di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Hafiz berkata, pihaknya mengesyaki ada gerakan yang cuba mengganggu umat Islam dengan mengedarkan kertas soal selidik mengenai kehidupan manusia serta kepercayaan agama.

"Kertas soal selidik ini diperolehi oleh seorang rakan saya yang didakwa diberikan oleh sekumpulan individu di Lintang Pasar berdekatan Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Apa yang menjadi tanda tanya ialah di bawah kertas yang ditulis dalam Bahasa Inggeris itu terdapat soalan yang bertanyakan sama ada anda tahu tentang kehidupan manusia. "Jika nak tahu, marilah membaca Bible bersama kami.

Apakah motif gerakan ini mengedarkan kertas soalan berkenaan kepada orang Islam? katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa segera menyiasat gerakan berkenaan sebelum ia menular di kalangan umat Islam di negeri ini.I

Sementara itu, Pemuda Umno mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan pendiriannya berhubung isu kalimah ALLAH susulan keputusan Majlis Syura Pas bahawa kalimah itu khusus untuk agama Islam.

Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya hairan kerana sehingga hari ini, Lim yang juga Setiausah Agung DAP, hanya membisu dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

"Beliau yang mulakan perkara ini (kontroversi isu kalimah ALLAH), tetapi selepas mengeluarkan kenyataan itu Lim hanya mendiamkan diri dan saya difahamkan beliau juga cuba mengelak apabila ditanya media.

"Mengapa perlu takut, kalau berani minta beranilah jawab, sekutu mereka (Pas) sudah beri jawapan dan sekarang DAP dan PKR pula perlu tampil dengan pendirian mereka.

Saya pasti semua orang sedang tunggu (pendirian parti)," katanya semalam.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 kepada 600 pelajar di kawasan Parlimen Kepala Batas yang dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Anggota Parlimen Kepala Batas.

Isu itu dibangkit oleh Lim semasa berucap sempena sambutan Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'ALLAH' dalam Bible bahasa Melayu.

Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Abdul Nik Abdul Aziz serta penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya.

Bagaimanapun susulan keputusan majlis syura itu, Abdul Aziz mengubah pandangan yang bukan sahaja tidak bersetuju dengan Lim, tetapi juga menegaskan kalimah ALLAH hanya merujuk Tuhan Yang Satu dan perbuatan menggunakannya untuk agama lain adalah mengarut.

Reezal yang Ketua Pemuda Umno Kepala Batas turut menuntut Lim menarik balik kenyataannya itu.

No comments:

Post a Comment