Saturday, January 19, 2013

Jumlah Bilik Hotel Dijangka Meningkat 20 Peratus Tahun Ini

Hotel PrinzPark yang baru dibuka.
Bilangan bilik penginapan di Terengganu dijangka meningkat 20 peratus tahun ini berikutan pembinaan beberapa hotel baharu yang akan beroperasi menjelang suku kedua tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata perkembangan itu bakal melonjakkan jumlah bilik hotel hampir 10,000 tahun ini berbanding sekitar lebih 8,000 bilik pada tahun lepas.

"Kita harap, dengan pertambahan bilik hotel itu, tidak akan menimbulkan masalah tempat penginapan kepada para pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) yang sudah pun bermula tahun ini." "Ini tidak termasuk lagi bilik-bilik di rumah inap desa dan hotel-hotel bajet," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Abdul Rahin berkata dua hotel bertaraf tiga bintang dan satu hotel biasa yang baharu siap dibina di bandar Kuala Terengganu masing-masing kini di dalam proses terakhir sebelum memulakan operasi.

Dua Hotel bertaraf tiga bintang itu ialah Hotel PrinzPark yang terletak di Kuala Ibai, kira-kira 6.0 km dari pusat bandar dan Hotel Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang terletak berhampiran Masjid Abidin atau dikenali Masjid Putih.

Katanya satu lagi hotel yang baru siap dibina dan dalam proses pengisian katil dan peralatan ialah berhampiran Pasar Payang, yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat ini.

Abdul Rahin berkata, bagi memantapkan lagi bilik-bilik hotel di bandar Kuala Terengganu, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan satu hotel bajet yang akan dibina tahun ini di atas tapak bekas sebuah panggung wayang, di tengah-tengah pusat bandar Kuala Terengganu oleh satu pihak swasta

 "Pembinaan hotel bajet tersebut baharu diluluskan kerajaan minggu lepas," katanya, sambil menyatakan langkah itu akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

Abdul Rahin berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan butik berkonsepkan hotel yang pertama seumpamanya di Terengganu bertempat di Pulau Warisan berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI).

Beliau berkata butik hotel yang dijangka mempunyai kira-kira 50 bilik itu telah diluluskan pembinaannya oleh kerajaan negeri pada Disember tahun lepas.

Abdul Rahin, bagaimana pun, tidak menyebut kos keseluruhan projek-projek tersebut.

No comments:

Post a Comment