Wednesday, January 2, 2013
Jualan Keropok Lekor Merosot 50 Peratus Musim Banjir
Pada musim tengkujuh, industri pembuatan keropok di Terengganu terjejas ketara berikutan kekurangan bekalan bahan mentah terutamanya ikan kerana nelayan tidak turun ke laut akibat laut bergelora.
Pengusaha keropok mendakwa perniagaan mereka merosot hampir 50 peratus dan ini diburukkan lagi dengan musim banjir di negeri ini sekarang.
Pemilik gerai Keropok Lekor Warisan Losong, di Kuala Terengganu, Ramlah Awang, 51, berkata cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun ini merupakan satu tamparan hebat kepada peniaga keropok yang bergantung hidup kepada sektor itu.
"Perniagaan saya tahun ini agak teruk sikit berbanding tahun-tahun lepas kerana mungkin orang ramai berbelanja untuk anak sekolah.
"Kalau dulu kita boleh jual RM1,000 sehari, tetapi sekarang ini, untuk mendapatkan RM400 hingga RM500 sahaja sehari pun ada kalanya susah," katanya semalam.
Namun jelasnya, perniagaannya masih mampu bertahan dengan ketibaan pelancong yang tinggi terutamanya pada musim cuti umum berbanding kuasa beli penduduk tempatan.
"Kadang-kadang kita terpaksa buka kedai sehingga malam kerana pembeli (orang luar) tidak putus-putus datang," katanya.
Bagaimanapun beliau yakin masalah itu tidak akan berpanjangan dan akan kembali seperti biasa apabila banjir reda.
Di Kampung Losong pada masa ini terdapat 21 orang pengusaha keropok lekor.
No comments:
Post a Comment