Melalui Program Bantuan Kemanusiaan anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), 40 keluarga mangsa banjir di sekitar Daerah Setiu menerima bantuan berupa hamper dan barang keperluan dapur.
Pengurus pasukan itu, Marzuki Sulong berkata acara yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk nilai kesedaran kepada pemain di samping meringankan beban mangsa banjir.
"Kita terpanggil untuk tampil meringan beban mereka. Oleh itu, inisiatif dibuat setelah melihat kesusahan serta keperitan yang dihadapi mangsa bencana.
"Saya ingin semua pemain melihat kesusahan yang ditanggung mangsa ini dan sama-sama membantu atas semangat kemanusiaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan di ruang legar Pasar Bandar Permaisuri semalam.
Kesemua 33 pemain Skuad Penyu turut hadir pada majlis tersebut dan kehadiran mereka itu sedikit sebanyak telah menceriakan suasana majlis dengan orang ramai mengambil peluang untuk bergambar bersama pemain.
Antara yang menjadi tumpuan ialah penyerang skuad penyu Abdul Manaf Mamat, Effa Owana, penyerang berasal dari Cameroon dan Zubir Azmi yang juga pemain skuad kebangsaan.
Marzuki berkata program seumpama ini akan dijalankan secara berperingkat di setiap daerah bagi membantu mangsa banjir dan golongan yang kurang bernasib baik.
"Kebanyakan mereka (mangsa) ini berpendapatan kecil dan kita mempunyai pendapatan yang lebih, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan kepada mereka," katanya sambil menambah program serupa akan diteruskan di masa depan.
No comments:
Post a Comment