Thursday, January 31, 2013

Kaji Semula Bantuan Bulanan Anak Istimewa

 Mohd Nasir (kanan) beramah mesra bersama salah seorang anak istimewa pada Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Keluarga dan Pelajar PDK Kuala Nerus.
Kerajaan diminta mengkaji semula bantuan bulanan sebanyak RM150 yang diberikan kepada anak-anak istimewa di bawah kategori golongan kurang upaya (OKU) supaya bersesuaian dengan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung keluarga mereka.

 Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, penambahan bantuan bulanan yang disarankan itu tidak terhad kepada anak istimewa di bawah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) malah termasuk mereka yang berada di rumah dan menerima bantuan bulanan sebanyak RM50.

Menurutnya, bantuan bulanan yang diberikan kepada anak-anak istimewa ini perlu diselaraskan sama ada anak-anak itu terlantar di rumah atau berada di bawah pusat jagaan.

“Berdasarkan kos sara hidup semasa termasuk keperluan perubatan serta keperluan sampingan lain yang terpaksa ditanggung keluarga, saya lihat bantuan bulanan yang diberikan perlu ditambah lagi kepada RM250.

“Ini bagi meringankan beban keluarga anak-anak istimewa ini kerana kita tahu keluarga mereka menanggung perbelanjaan lebih untuk menampung keperluan harian mereka,” katanya pada sidang media ketika hadir di majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Keluarga dan Pelajar PDK Kuala Nerus di restoran A&W, Batu Burok.

PDK Kuala Nerus menempatkan seramai 50 anak-anak istimewa termasuk lapan yang berada di rumah bermula dari usia empat hingga 31 tahun.

Kebanyakan anak istimewa yang ditempatkan di PDK itu mengalami penyakit autisme, sindrom down, hiperaktif, masalah fizikal dan pelbagai. Pada majlis berkenaan, Mohd Nasir turut mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM6,000 bagi tiga PDK iaitu di Kuala Nerus, Manir dan Batu Rakit bagi membantu pengurusan pentadbiran.

Ketiga-tiga PDK itu mempunyai sekitar 180 anak istimewa yang mana mendapat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk di dalam kategori OKU.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasir berkata, penubuhan PDK Wakaf Tembesu perlu disegerakan bagi menampung anak istimewa dari kawasan setempat. “Dengan adanya PDK Wakaf Tembesu, ibu bapa anak istimewa ini tidak perlu menghantar anak mereka di PDK yang jauh dari kediaman kerana menyukarkan proses penghantaran dan pengambilan anak mereka,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Nasir turut meminta kerajaan menilai semula elaun bulanan yang diberi kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) pada kadar yang lebih tinggi berbanding jumlah RM150 yang diberi sekarang.

Katanya, berdasarkan peningkatan kos sara hidup zaman sekarang, jumlah elaun yang diberi kepada golongan itu perlu dinaikkan kepada RM250 sebulan.

"Jumlah perbelanjaan menguruskan anak OKU agak mahal termasuk membeli barangan keperluan mereka dan kos pengangkutan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang pastinya membebankan keluarga OKU.

"Justeru, saya sangat berharap agar kerajaan sedia mengkaji semula kadar elaun kepada mereka supaya ia selaras dengan pembangunan pesat masa kini," katanya kepada pemberita di majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra bersama keluarga dan pelajar OKU PDK Seberang Takir di sebuah restoran.

 Sehingga kini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyumbangkan RM150 bulanan kepada pelatih OKU yang belajar di PDK manakala OKU yang terlantar di rumah menerima RM50.

No comments:

Post a Comment