Thursday, January 31, 2013
Selesai Isu Solat Dua Kariah Ikut Cara Agama - Rozali
Masalah solat Jumaat dua kariah di 11 kampung di negeri ini yang berterusan sejak 31 tahun lalu harus diselesaikan dengan cara agama, walaupun yang memulakan percanggahan itu adalah orang politik, kata
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Haji Mohd Rozali Salleh. “Sampai bila kita harus membiarkannya , sudah 31 tahun dan memasuki 32 tahun, malah ada di kalangan mereka sudah mati.
Tidakkah orang agama harus melihat ia sebagai isu agama? Dan ia hendaklah diselesaikan dengan cara agama. Kembali kepada orang agama, kembali kepada ketua agama,” katanya ketika berucap sempena Program Diskusi Dilema dan perjuangan Islam di Malaysia, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.
Lebih 3,000 peserta di kalangan imam, bilal dan guru Kafa seluruh Terengganu menyertai program diskusi anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) bersama Yayasan Islam Terengganu dan Maidam itu.
Rozali berkata, semua peserta yang hadir ke diskusi itu boleh dianggap sebagai pendakwah dan juga pemimpin dalam ruang lingkup masing-masing, haruslah tidak membiarkan perkara yang bertentangan dengan akidah dan agama berlarutan dalam rumah, kampung dan juga persekitaran tanpa sebarang tindakan.
Beliau berkata,sekiranya tidak dapat diselesaikan dengan tindakan dan perbuatan, sekurang-kurangnya kesilapan itu diperbetulkan menerusi keikhlasan doa dan solat yang dipohon dari Allah s.w.t.
“Kita tidak mampu menarik telinga dia, kita tidak mampu berhujah atas pentas kerana kita tiada ruang, kita bukan orang politik, tetapi kita berdoa dan sesungguhnya doa seorang mukmin kepada orang mukmin yang lain, tanpa pengetahuannya , doa untuk kebaikannya, doa itu akan dimakbul Allah s.w.t,” katanya.
Menurutnya, doa menjadi senjata paling ampuh dan hebat di kalangan umat Islam itu jarang diamalkan, melainkan lebih ramai bertindak mengikut emosi dengan melakukan tindakan di luar kawalan, sama ada bersekongkol, menyokong dan juga menentang dengan menggunakan fizikal.
Selain itu, beliau mengajak semua umat Islam di negeri ini sentiasa bermuhasabah dan bersyukur dengan nikmat yang ada di sekeliling kerana kesyukuran yang dipanjatkan kepada Ilahi mampu memberi keberkatan dan rezeki yang lebih berganda.
“Selain harus sentiasa bersyukur dengan nikmat, antara perkara yang sering umat terlupa, tidak tahu atau tidak faham dalam kehidupan ini, kedua adalah bersatu itu hebat, berpecah azab; ketiga, cinta negara (tanah air) adalah sebahagian daripada iman dan keempat, kepimpinan di mana kita semua adalah pemimpin.
Teganukita
No comments:
Post a Comment